AM

NIK KAMARUZAMAN LAWAT KOMPLEKS KEMENTERIAN KOMUNIKASI DI LABUAN

23/11/2024 05:25 PM

LABUAN, 23 Nov (Bernama) -- Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin hari ini melawat Kompleks Kementerian Komunikasi di sini.

Kompleks seluas 0.4789 hektar di Jalan Tanjung Taras di tengah-tengah bandar Labuan itu berfungsi sebagai pusat operasi dan pengurusan bagi agensi di bawah Kementerian Komunikasi, termasuk Bernama, Jabatan Penerangan, dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Kompleks bernilai RM9.5 juta yang mula dibina pada 11 Julai 2016 dan siap pada Disember 2019 itu direka untuk menempatkan pejabat-pejabat pentadbiran, di samping membantu melaksanakan fungsi menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

Nik Kamaruzaman menyuarakan rasa puas hati dengan struktur dan fungsi bangunan itu, sambil memuji kemudahan disediakan, yang dilihat memenuhi keperluan operasi agensi berkaitan.

Turut bersama dalam rombongan adalah pegawai daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Nik Kamaruzaman yang diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin turut melawat Pejabat Bernama Labuan dan Jabatan Penerangan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan