JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS RUJUK KES ANIAYA KUCING KEPADA JABATAN PERKHIDMATAN VETERINAR

23/11/2024 10:34 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Polis merujuk kes menganiaya seekor kucing yang tular di media sosial hari ini kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya menerima laporan polis daripada seorang pengadu yang melihat satu video penganiayaan itu menerusi aplikasi Xiaohongshu.com pada 5.26 petang hari ini.

Beliau berkata video itu memaparkan seorang individu tidak dikenali melakukan penganiayaan terhadap seekor kucing dengan menarik tali yang diikat pada leher kucing berkenaan.

“Di dalam video itu terdapat alamat yang tertera di ruang komen beralamat di Block A, Tingkat 23, Scott Garden Soho, 289, Old Klang Road, 58200 Kuala Lumpur.

“Pengadu datang buat laporan dan laporan polis telah dihantar kepada Penguatkuasa Veterinar Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata jabatan itu sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan