PUTRAJAYA, 23 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof malam ini menyertai acara jalan kaki sejauh tiga kilometer (km) bermula dari Anjung Floria, di sini pada program TNB (Tenaga Nasional Bhd) Energy Night Walk and Run 2024, yang disertai 2,788 peserta.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air sebelum itu melepaskan 1,712 peserta larian sejauh 7.5 km pada program sama.
Cuaca mendung selepas hujan disulami angin dingin malam tidak mematahkan semangat peserta untuk melakukan aktiviti sihat bersama Fadillah.
Acara jalan kaki dan larian edisi kedua dengan keseluruhannya melibatkan 4,500 peserta dengan bertemakan “Meraikan Kemajuan, Melakar Masa Hadapan” itu diadakan sempena ulang tahun ke-75 TNB yang disambut pada 1 Sept lepas.
Peserta larian dilepaskan pada 8.30 malam sebelum Fadillah menyertai acara jalan kaki itu kira-kira 15 minit kemudian.
Turut hadir Pengerusi TNB Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan.
Program berkenaan memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan limpahan cahaya lampu waktu malam di pusat pentadbiran kerajaan, di beberapa laluan antaranya Lebuh Setia, Jambatan Seri Setia, Jambatan Seri Ehsan, dan Lebuh Saujana.
-- BERNAMA