AM

JPJ DIBERI MANDAT TANGANI KENDERAAN BERAT BAWA MUATAN BERLEBIHAN - LOKE

25/11/2024 06:16 PM

SEREMBAN, 25 Nov (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diberi mandat penuh menangani isu kenderaan berat membawa muatan berlebihan yang dikenal pasti sebagai antara punca utama berlakunya kemalangan jalan raya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata beliau mengarahkan JPJ untuk mengambil tindakan tegas kepada lori yang membawa lebih muatan termasuk menempatkan pegawai penguat kuasa di kawasan kuari bagi memastikan pematuhan undang-undang.

"Saya telah beri mesej kepada Pengarah Penguat Kuasa JPJ supaya mengambil tindakan tegas dan sewajarnya termasuk meletakkan pegawai penguat kuasa jabatan itu di kawasan-kawasan kuari.

"Kita tengoklah mereka (pemandu lori) nanti berani atau tidak untuk keluar, pukul berapa mereka keluar, kami akan letak anggota penguat kuasa di situ. Kita tahu mereka ini banyak tonto, malah memang ada penguat kuasa kita yang diugut oleh tonto mereka," katanya di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mohamad Hanapiah Abu Baker (PN-Labu) semasa celahan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Ketua pembangkang negeri itu menyuarakan kebimbangan berhubung isu lori pasir dan batu yang menyebabkan kemalangan sehingga meragut nyawa.

Loke yang juga ADUN Chennah berkata pihaknya sedang meneliti untuk melaksanakan pindaan terhadap undang-undang iaitu Akta Pengangkutan Jalan bagi memperkasakan lagi penguatkuasaan supaya lebih efektif, khususnya terhadap lori yang membawa lebih muatan.

"Kemalangan melibatkan lori ini semakin menjadi-jadi, kita akan terus laksanakan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran terhadap lori yang membawa lebihan muatan ini.

"Tindakan menggantung operasi dan menarik lesen akan diambil jika terdapat kes serius berlaku misalnya melibatkan pemandu warga asing, mungkin dari segi tindakan boleh tarik lesen yang seterusnya memberikan kerugian sangat besar kepada syarikat tersebut," katanya.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan