BERITA TERGEMPAR | Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | |
ALOR SETAR, 27 Nov (Bernama) -- Kawalselia Padi dan Beras negeri Kedah menyita lebih 300 tan padi di sebuah kilang di Kuala Kedah, di sini selepas didapati melakukan pemindahan tanpa permit, pada Isnin.
Pengarahnya Mohamad Nornizam Ramly berkata pihaknya sebelum itu telah menerima aduan berkenaan pemindahan padi tanpa permit ke sebuah kilang padi komersial.
“Bertindak atas maklumat, pada 25 Nov 2024 lebih kurang 2.30 petang, sepasukan anggota Kawalselia Padi dan Beras telah ke kilang padi komersial untuk menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati padi pukal berat bersih lebih kurang 307,591.20 kilogram (kg) di dalam kilang tersebut yang dibeli dari negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Nornizam berkata pasukan penguat kuasa telah meminta dokumen berkaitan padi dalam milikan kilang tersebut untuk semakan lanjut, namun pemilik kilang gagal mengemukakan dokumen berkaitan padi dalam milikannya.
Beliau berkata pihaknya telah bertindak menyita padi di kilang tersebut dengan anggaran hasil sitaan sebanyak RM399,868.56.
“Kes disiasat di bawah Peraturan 2, Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Sekatan Pemindahan Antara Negeri) 1997 P.U (A) 31. Akta 522 Akta Kawalan Padi dan Beras.
-- BERNAMA