BERITA TERGEMPAR | Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | |
NILAI, 27 Nov (Bernama) -- Seorang pegawai akaun di sebuah syarikat swasta di sini mendakwa mengalami kerugian lebih RM200,000 akibat ditipu seorang ejen hartanah.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata laporan kes itu diterima pihaknya 24 Nov daripada seorang wanita warga tempatan berusia pertengahan 30-an.
Beliau berkata pengadu mendakwa berurusan dengan seorang ejen hartanah bagi memohon pinjaman membeli sebuah kedai berharga RM158,000 dengan wanita itu, telah membuat bayaran proses pembelian pada akhir Disember 2023.
“Pengadu telah dihubungi ejen bank yang berjanji akan membantunya untuk mempercepat proses permohonan pinjaman pembelian kedai dan mangsa kemudiannya membuat pembayaran secara berperingkat bermula 28 Dis 2023 hingga 6 Okt lepas berjumlah RM209,980,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Malik berkata pengadu mengesyaki ditipu selepas mendapati tiada sebarang permohonan pinjaman dibuat kepada pihak bank oleh ejen berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.
-- BERNAMA