BERITA TERGEMPAR | Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | |
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Kerajaan optimis terhadap sasaran pelaburan yang ditetapkan dalam Strategi Semikonduktor Nasional (SSN) selepas mengambil kira prestasi pelaburan semasa sektor semikonduktor negara yang memberangsangkan.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pada 2023, sektor ini telah menyumbang sebanyak RM69.4 bilion (82 peratus) daripada RM84.5 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan bagi projek elektrik dan elektronik (E&E).
“Bagi separuh pertama 2024, kerajaan telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM34.6 bilion dan RM0.98 bilion daripadanya merupakan pelaburan domestik (DI) manakala RM33.63 bilion adalah pelaburan asing (FI).
“Selain itu, sebanyak tiga syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) tempatan telah ditubuhkan dalam tempoh tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Ia menjawab soalan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang ingin mengetahui mengenai kemajuan yang telah dicapai melalui pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan SSN.
Katanya sehingga suku ketiga 2024, SSN telah membuka peluang pekerjaan kepada seramai 4,673 individu, dengan 97 peratus daripada pengambilan tersebut terdiri daripada pekerja teknikal, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kumpulan bakat negara.
-- BERNAMA