AM

FAHMI FADZIL AJAK ORANG RAMAI HADIR KARNIVAL KOMUNIKASI DI IWK ECO PARK @ PANTAI DALAM

29/11/2024 11:44 AM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengajak orang ramai untuk menyertai Karnival Komunikasi 2024 yang berlangsung bermula hari ini hingga Sabtu di IWK Eco Park @ Pantai Dalam. 

"Jom kita beramai-ramai datang dan saksikan, nikmati pelbagai program dan acara yang disediakan untuk anda, jumpa di sana,” katanya dalam video pendek yang dimuat naik dalam media sosial Kementerian Komunikasi hari ini. 

Pelbagai perkhidmatan dan aktiviti menarik juga dibawakan khas oleh Kementerian Komunikasi terus kepada rakyat menerusi Karnival Komunikasi yang bermula 9 pagi hingga 10 malam itu.

Karnival Komunikasi 2024 adalah antara usaha Kementerian Komunikasi bagi menarik minat komuniti berkaitan inisiatif anjuran kementerian dan agensi, meningkatkan literasi komunikasi dalam kalangan masyarakat dan pendidikan komuniti seperti isu scam dan penyalahgunaan talian kecemasan 999.

Antara pengisian menarik pada karnival itu ialah Jualan Rahmah, pencetakan setem menggunakan gambar sendiri oleh Pos Malaysia, pakej daripada syarikat telco, penukaran naskhah al-Quran dan kaunter pembayaran saman. 

Selain itu sebagai penutup program pada Sabtu, diadakan konsert RIUH x Karnival Komunikasi 2024 yang menampilkan artis tempatan Bunkface, Naim Daniel, Iman Troye dan MUAH! band.

Maklumat lanjut mengenai karnival boleh didapati menerusi laman web karnival.komunikasi.gov.my serta media sosial rasmi Karnival Komunikasi (Facebook, Instagram, X, YouTube dan TikTok).

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan