AM

PENYELIDIK UKM-HCTM RAIH ANUGERAH GLOBAL DALAM PEMBEDAHAN JANTUNG DAN PEMULIHAN

29/11/2024 12:32 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Satu pencapaian bersejarah oleh pasukan penyelidik dari Fakulti Perubatan, Univesiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) berjaya meraih anugerah di peringkat global pada Kongres Tahunan ke-32 Persatuan Pakar Bedah Toraks dan Kardiovaskular Asia (ATCSA) 2024 yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Pasukan penyelidikan yang diketuai oleh Prof Madya Datuk Dr Nur Ayub Md Ali, berjaya meraih anugerah berprestij ‘Allied Health - Young Investigator Award’ menerusi kaedah kajian yang pertama kali diterapkan di Malaysia menggunakan metodologi yang kukuh (robust).

HCTM menjadi perintis dalam penyelidikan senaman sebelum pembedahan jantung dan paru-paru di Malaysia.

Kajian yang memenangi anugerah ini, dibentangkan oleh pensyarah dan penyelidik Dr Nor Azura Azmi, yang memberi tumpuan kepada pendekatan transformatif dalam pemulihan pembedahan jantung.

Kajian bertajuk: Exercise-Based Prehabilitation Versus Standard Care in Patients Awaiting Cardiac Surgery: A Randomised Controlled Trial memenangi tempat pertama dalam kalangan 250 kertas penyelidikan yang dibentangkan oleh pakar bedah toraks dan kardiovaskular dari seluruh Asia.

"Pertandingan ini, yang pertama diadakan di peringkat Asia, turut memberi perhatian kepada kepada inovasi dan perkembangan baharu dalam bidang sains kesihatan, dengan fokus utama untuk meningkatkan hasil rawatan bagi pesakit," kata Dr Nur Ayub kepada Bernama.

Berkongsi pandangan mengenai penemuan penting pasukan penyelidikan UKM-HCTM ini, Dr Nur Ayub berkata amalan pembedahan jantung konvensional selama ini menghalang pesakit daripada bersenam sebelum pembedahan.

"Namun, penyelidikan kami mencetuskan perubahan dan membuktikan bahawa senaman sebelum pembedahan dapat mempercepatkan pemulihan pesakit dengan ketara.

"Pemulihan pra-pembedahan dapat mengurangkan masa pemulihan dengan drastik, membolehkan pesakit kembali kepada kehidupan normal dan berdikari dengan lebih cepat.

"Senaman sebelum pembedahan bukan sahaja memperbaiki pemulihan fizikal, tetapi juga meningkatkan kesejahteraan mental, membawa perbezaan ketara dalam kesihatan keseluruhan pesakit," tambahnya.

HCTM, bersama-sama Fakulti Perubatan UKM, kini menerajui Program Getfit, program pertama seumpamanya di Malaysia, yang direka untuk mempersiapkan pesakit secara fizikal dan mental bagi pembedahan besar seperti prosedur jantung dan paru-paru.

“Program ini telah terbukti dapat meningkatkan fungsi kardiopulmonari dan mempercepatkan penyembuhan selepas pembedahan, seterusnya meningkatkan kadar survival dan kualiti hidup,” kata Dr Nur Ayub.

Dalam satu lagi pencapaian cemerlang, Teoh Chia Xuan, seorang pelajar perubatan tahun lima di bawah bimbingan Dr Nur Ayub, meraih tempat kedua dalam kategori Pelatih Pakar Bedah Kardiotorasik untuk kerjanya yang inovatif.

Penyelidikan Teoh, yang dijalankan bersama Prof. John Chan dari Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) dan Prof. Dr Chin Kin Fah dari Academy of Silent Mentor (AFSM), melibatkan model simulasi kadaverik perfusi yang baru untuk pembedahan pintasan jantung, bertujuan meningkatkan latihan bagi pakar bedah kardiotorasik.

"Kejayaan cemerlang ini bukan sahaja mengetengahkan kemajuan terkini dalam pembedahan jantung, tetapi juga menekankan peranan penting penyelidikan dan pendidikan dalam mengubah aspek penjagaan pesakit di Malaysia dan luar negara," kata Dr Nur Ayub.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan