PUTRAJAYA, 29 Nov (Bernama) -- Kemajuan pembangunan sesebuah negara tidak boleh diukur hanya dengan indikator ekonomi, tetapi harus merangkumi keadilan sosial, kesejahteraan manusia, keseimbangan ekologi, dan keamanan, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Baginda bertitah, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pendekatan baharu telah muncul yang bertujuan memperluaskan skop pembangunan, dan pendekatan ini mengakui bahawa ukuran tradisional terlalu sempit dan tidak mampu menggambarkan kerumitan kesejahteraan manusia serta kelestarian ekologi.
“Rangka kerja baru telah dibangunkan, termasuk Indeks Pembangunan Manusia (HDI) oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), yang telah membantu memperluaskan pemahaman kita mengenai pembangunan, meliputi akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan, dan penyertaan politik, bukan sekadar tahap pendapatan,” titah baginda semasa menyampaikan Titah Diraja pada Putrajaya Festival of Ideas (Putrajaya FOI) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Sultan Nazrin bertitah pemahaman terhadap erti pembangunan telah berubah dengan ketara dalam tempoh 80 tahun yang lalu, di mana pembangunan pada asalnya dilihat hampir eksklusif sebagai satu proses ekonomi, yang melihat sesebuah negara maju daripada status berpendapatan rendah kepada berpendapatan tinggi.
“Dalam pandangan ini, pembangunan dilihat sebagai laluan terarah secara berterusan ke arah pemodenan dengan tumpuan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), perindustrian, dan pengembangan pasaran. Model pembangunan ini telah mencapai kejayaan yang ketara dan berjaya mengeluarkan berjuta-juta orang daripada kepompong kemiskinan.
“Namun, ia juga meninggalkan pelbagai masalah. Ini termasuk kemiskinan yang meluas di tengah-tengah kemakmuran, kemerosotan alam sekitar, peningkatan ketidaksamaan, dan pengasingan sosial,” titah baginda.
Oleh itu, Sultan Nazrin bertitah bahawa model pembangunan tradisional ini telah menerima kritikan yang hebat.
Ramai cendekiawan dan pengamal kini menyeru kepada pemahaman yang lebih luas tentang pembangunan yang melangkaui tumpuan sempit kepada pertumbuhan ekonomi, dengan mengambil kira isu-isu mendalam seperti keadilan sosial, kesejahteraan manusia, keseimbangan ekologi, dan keamanan.
Dalam pada itu, baginda bertitah, walaupun terdapat pelbagai pendekatan terhadap pembangunan, konsep tersebut mesti berlandaskan beberapa prinsip utama yang saling berkaitan, iaitu keterhubungan, pembangunan berpusatkan manusia, penjagaan alam sekitar, serta kesaksamaan dan keadilan.
Sementara itu, Sultan Nazrin bertitah menegaskan pembaharuan perlu dilakukan terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan institusi kewangan antarabangsa untuk menghadapi cabaran global yang saling berkait pada masa kini.
Baginda bertitah hampir 80 tahun selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, sudah tiba masanya untuk melakukan pembaharuan terhadap institusi global yang ditubuhkan semasa dan selepas perang tersebut.
"PBB, Bank Dunia, dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terus berfungsi berdasarkan peraturan-peraturan lama yang ditetapkan ketika itu.
"Namun, walaupun persekitaran geopolitik dan ekonomi telah berubah sejak 1945, dan kita kini hidup di dunia yang multipolar, struktur tadbir urus yang tidak mewakili dan bersejarah ini masih kekal.
"Kita semua berkongsi satu planet, hidup dalam satu ‘kawasan global’ yang mempunyai sumber bersama, mungkin juga dalam sebuah kampung global. Jika krisis global utama yang memberi kesan kepada kita semua seperti perubahan iklim ingin ditangani dengan adil dan berkesan, Negara Selatan kini perlu diintegrasikan lebih sepenuhnya dalam proses penyelesaian masalah,” titah Sultan Nazrin.
Mengenai Festival Idea Putrajaya yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, baginda bertitiah festival tersebut merupakan pengiktirafan penting bahawa pembangunan itu sendiri, sebagai konsep dan amalan, tidak boleh statik.
"Ia mesti sentiasa dikaji semula, dikemas kini, dan, ya, diperluaskan, untuk memenuhi keperluan yang sentiasa berubah pada masa kini," titah baginda.
-- BERNAMA