KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) malam ini merangkul Anugerah Khas Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta lima anugerah lain pada majlis Anugerah Kecemerlangan Media (AkeMedia) KPKT 2024 di sini malam ini.
Anugerah khas berkenaan membolehkan Bernama membawa pulang hadiah bernilai RM10,000.
Wartawan Hasnah Jusid menang tempat kedua kategori Anugerah Kandungan Media Sosial Terbaik bagi membawa pulang wang tunai RM2,000 manakala wartawan Biro Kelantan Mohd Noor Iqram Rosli di tempat ketiga kategori sama dan meraih hadiah RM1,000.
Jurufoto Biro Perak Zulfadhli Zulkarnain pula meraih tempat pertama kategori Anugerah Kewartawanan Foto Terbaik sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000 manakala Jurufoto Biro Kelantan Muhammad Mustaqim Khairuddin di tempat kedua katergori sama dengan hadiah wang tunai RM2,000.
Hos Bernama Radio Nur Syazwani Bakhtiar Azam dan Mohd Hirzee Mohamad pula menang tempat pertama bagi kategori Anugerah Penyiaran Radio Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM3,000.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata anugerah berkenaan merupakan pengiktirafan kepada agensi berita itu dalam menyokong semua program dan acara yang dilaksanakan oleh KPKT.
“Ini membuktikan bahawa pihak kementerian menyedari fungsi Bernama dalam menghasilkan bahan berita yang memberi publisiti menyeluruh untuk KPKT.
“Terima kasih kepada pihak kementerian untuk penganugerahan ini dan tahniah juga kepada wartawan serta jurufoto Bernama yang turut menerima anugerah malam ini,” katanya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam ucapannya berkata AkeMedia merupakan platform kementerian untuk menghargai peranan dan usaha murni wartawan dalam menterjemah agenda utama KPKT.
Beliau berkata penganjuran AkeMedia yang dilaksanakan dengan kerjasama Institut Akhbar Malaysia (MPI) bukan sahaja menekankan aspek kualiti laporan dan paparan malah aspek integriti dalam data dan fakta.
“Kita akan memastikan AkeMedia bukan sahaja akan terus dipertandingkan malah diberi penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya.
-- BERNAMA