KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Amalkan pendekatan proaktif dan laksanakan strategi yang memperkasakan interaksi serta dialog antara kumpulan agama dan masyarakat untuk membina masyarakat Malaysia yang harmoni dan bersatu padu, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata interaksi dan dialog iaitu dua alat yang mampu merapatkan perbezaan, memupuk perfahaman dan menyatukan rakyat, merupakan asas dalam satu masyarakat yang harmoni dan tanpa kedua-dua elemen itu, timbul ketidakpercayaan, konflik memuncak dan peluang untuk perpaduan semakin berkurang.
Aaron berkata dalam masyarakat yang harmoni, interaksi dan dialog membolehkan orang ramai menghargai kepelbagaian, menangani salah faham dan bersatu dalam mencapai matlamat bersama.
“Interaksi ialah benang yang menyatukan kepelbagaian latar belakang masyarakat kita manakala dialog merupakan perantara untuk kita menyatakan nilai, menyelesaikan konflik dan melakar laluan ke arah kemajuan kolektif.
"Satu daripada halangan paling ketara bagi interaksi bermakna ialah polarisasi. Sejak kebelakangan ini, perpecahan masyarakat telah diburukkan lagi oleh maklumat yang salah, prasangka dan kekurangan pemahaman tentang pengalaman hidup satu sama lain. Ramai orang teragak-agak untuk berdialog kerana takut dihakimi atau penolakan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Sidang Keamanan Antara Agama (IIPC) anjuran Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN) di sini hari ini.
Aaron berkata teknologi telah mewujudkan dua ruang di mana individu berinteraksi hanya dengan mereka yang mempunyai kepercayaan sama justeru mengekang kepelbagaian perspektif dan mendalamkan lagi jurang masyarakat.
"Selain itu, jurang digital meninggalkan komuniti terpinggir tanpa akses kepada platform-platform ini, mengasingkan mereka lebih jauh daripada wacana yang bermakna. Menangani cabaran ini memerlukan kita mempromosikan celik digital dan menggalakkan dialog yang melangkaui dunia maya kepada interaksi dalam dunia nyata," katanya.
Sebagai Menteri Perpaduan Negara, beliau berikrar untuk mempergiat usaha ke arah membina hubungan merentasi komuniti, namun katanya ia bukan tugas kerajaan sahaja tetapi tanggungjawab bersama yang memerlukan setiap rakyat, setiap komuniti dan setiap organisasi memainkan peranan mereka.
Aaron berkata IIPC 2024 yang diadakan untuk tahun ketiga berturut-turut di Malaysia oleh ACCIN dilihat sangat tepat pada masanya susulan ancaman kepada keamanan dunia dan penindasan yang kini berlaku di banyak bahagian dunia khususnya Palestin.
Bertemakan ‘Kepentingan Interaksi dan Dialog untuk Masyarakat yang Benar-Benar Harmoni’, persidangan itu menghimpunkan pemimpin dan penganut berbeza agama dari pelbagai bahagian dunia untuk menangani topik penting dalam keadaan dunia dipenuhi kemelut.
Ditanya sama ada Malaysia bersedia untuk menganjurkan dialog bersama Pope Francis, pemimpin Gereja Katolik untuk mempromosikan dialog antara agama di negara ini, Aaron berkata negara terbuka dalam menerima lawatan tokoh itu.
-- BERNAMA