BERITA TERGEMPAR | Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | |
JITRA, 30 Nov (Bernama) -- Pasangan pengantin yang sepatutnya mengadakan kenduri perkahwinan mereka hari ini, memutuskan untuk mengagihkan makanan yang telah ditempah kepada orang ramai selepas inap desa yang disewa untuk majlis itu di Titi Besi, Kepala Batas, di sini ditenggelami banjir.
Mohamed Khairie Mohamed Kamal, 28, dan Nur Izzatul Asma Mustafa, 22, juga terpaksa memindahkan lokasi kenduri ke rumah datuk pengantin perempuan di Kampung Hutan Kandis, Alor Setar dan diadakan secara kecil-kecilan.
Nur Izzatul Asma berkata kenduri perkahwinannya dirancang untuk 1,200 tetamu yang disediakan pihak katering tetapi semua makanan itu terpaksa dibungkus dan diedarkan kepada kenalan, saudara mara, pusat tahfiz dan orang ramai.
“Memang sedih apabila majlis penikahan pada semalam diikuti majlis kenduri pada hari ini berlangsung dalam suasana banjir namun saya reda dan tetap menganggapnya sebagai hari bersejarah dalam hidup kami.
“Saya berterima kasih kepada tetamu terutama kenalan serta ahli keluarga yang hadir ke majlis kenduri akad nikah semalam walaupun terpaksa menaiki bot milik penduduk dan kenderaan pacuan empat roda," katanya ditemui ketika mengedarkan makanan dan cederamata kepada orang ramai di Pekan Kepala Batas di sini hari ini.
Nur Izzatul Asma yang bekerja sebagai kerani berkata majlis perkahwinannya dirancang sejak Mei lepas dan kad jemputan juga telah diedar selain menempah baju pengantin serta keperluan lain yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM20,000.
"Kami tetap raikan perkahwinan ini dengan mengambil gambar kenangan, memakai baju pengantin dan menaiki bot serta kenderaan pacuan roda berlatarbelakangkan kawasan banjir," katanya.
Sementara itu, Mohamed Khairie berkata dia sedikit terkilan kerana hanya tiga ahli keluarganya dari Simpang Kuala, Alor Setar yang dapat hadir ke majlis akad nikah semalam kerana banyak jalan terputus akibat banjir.
“Selalunya saya tengok perkahwinan dalam banjir seperti ini di televisyen dan laman sosial saja, tak sangka kali ini saya dan isteri pula lalui, kami reda saja sebab nak buat apa lagi," katanya yang bekerja sebagai jurujual.
-- BERNAMA