KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Keadaan banjir di beberapa negeri bertambah buruk dengan Pahang menjadi negeri terbaharu yang ditimpa musibah itu, menyaksikan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 152,377 orang pagi ini berbanding 146,611 orang malam tadi.
Bagaimanapun situasi di Negeri Sembilan dan Selangor pula mencatatkan sedikit penurunan mangsa setakat pukul 8 pagi ini.
Di KELANTAN jumlah mangsa banjir di 284 PPS mencecah 96,743 orang daripada 29,928 keluarga setakat ini berbanding 93,158 orang malam tadi.
Menerusi Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Pasir Mas kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 29,370 orang, diikuti Tumpat (17,680), Kota Bharu (14,154), Pasir Puteh (9,870) dan Kuala Krai (6,614).
Turut terkesan, Bachok dengan 6,952 mangsa, Machang (6,098), Tanah Merah (5,318), Jeli (660) dan Gua Musang (36).
Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan lima sungai utama masih melepasi paras bahaya, namun menunjukkan penurunan iaitu Sungai Kelantan di Kusial Baru (16.64 meter), Sungai Kelantan di Kusial (16.66 meter), Sungai Golok di Rantau Panjang (11.20 meter), Sungai Golok di Tumpat (4.22 meter) dan Sungai Semerak di Pasir Puteh (3.65 meter).
Di TERENGGANU jumlah mangsa terus meningkat kepada 43,281 orang pagi ini berbanding 41,409 yang dilaporkan malam tadi, melibatkan 11,679 keluarga yang berlindung di 305 PPS di kesemua lapan daerah terjejas di negeri berkenaan.
Menurut data terkini Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Besut kekal dengan angka tertinggi iaitu sebanyak 16,084 mangsa, diikuti Hulu Terengganu (7,080), Dungun (6,470), Setiu (6,332), Kuala Terengganu (2,940), Kuala Nerus (2,307), Kemaman (1,230) dan Marang (775).
Menerusi semakan di portal InfoBanjir, setakat pukul 8.15 pagi tadi 12 stesen bacaan paras air sungai melibatkan empat di daerah Hulu Terengganu, tiga di Dungun, dua di Kuala Nerus dan masing-masing satu di Kemaman, Marang dan Setiu merekodkan paras bahaya.
Sementara itu, di KEDAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 8,754 orang daripada 2,671 keluarga yang ditempatkan di 53 PPS setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 8,580 orang daripada 2,622 keluarga malam tadi.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain dalam kenyataan memaklumkan Kota Setar mencatatkan 2,953 mangsa, Kubang Pasu (2,825), Padang Terap (1,082), Sik (1,075), Pokok Sena (604), Kuala Muda (182) dan Baling (33).
Jumlah mangsa banjir di JOHOR turut meningkat pagi ini kepada 592 orang daripada 175 keluarga, berbanding 507 orang malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata daerah Tangkak mencatatkan 311 mangsa yang ditempatkan di tiga PPS, manakala Segamat menempatkan 281 mangsa di 11 PPS.
Beliau berkata tiga sungai iaitu Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma’mor, Tangkak; Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang; dan Sungai Sedili Kecil di Sedili Kecil, Kota Tinggi dilaporkan berada pada paras bahaya.
Sementara itu, PAHANG menjadi negeri terbaharu dilanda banjir apabila 15 PPS dibuka di daerah Raub bagi menempatkan seramai 452 mangsa daripada 146 keluarga.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah terkini mangsa di PPS sedang dikemas kini berikutan operasi pendaftaran banjir masih dilakukan.
“Punca utama banjir di daerah berkenaan adalah disebabkan kepala air yang turun lebih kurang serentak di Sungai Dong dan Sungai Gali. Pada pukul 10.51 malam tadi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Raub telah menerima panggilan orang awam memaklumkan kejadian banjir di Kampung Jelu, Kampung Bukit Pampong dan Ulu Gali.
“Susulan itu, APM Raub telah memindahkan mangsa ke PPS dan ketika ini, dalam tindakan dan bantuan selanjutnya oleh agensi lain,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu di MELAKA, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 302 orang daripada 71 keluarga setakat 8 pagi ini yang ditempatkan di lima PPS.
Seketariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam kenyataan hari ini memaklumkan Melaka Tengah mencatatkan 111 mangsa, Alor Gajah (42), Jasin (149).
Di PERLIS, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 226 orang daripada 62 keluarga pagi ini berbanding 224 orang daripada 60 keluarga pada malam tadi.
Pengarah APM Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata PPS SK Arau di Arau menempatkan 83 orang manakala 143 orang lagi berlindung di PPS Dewan Warisan (Kangar).
“Penduduk yang terjejas dengan banjir antaranya dari Kampung Rambai, Kampung Banggol Sena, Kuala Tunggang dan Kampung Alor Setar selain Kampung Tok Kandang, Kampung Repoh, Kampung Teluk Kacang, Kampung Bakau dan Kampung Behor Gonchar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di NEGERI SEMBILAN, laman sesawang Info Bencana JKM melaporkan mangsa banjir di tiga daerah iaitu Tampin, Jempol dan Kuala Pilah yang ditempatkan di 13 PPS terus menunjukkan penurunan kepada 1,925 orang daripada 538 keluarga setakat pagi ini berbanding 1,985 mangsa daripada 569 keluarga malam tadi.
Di SELANGOR, situasi banjir di Meru, Klang pagi ini mencatatkan pengurangan mangsa kepada 102 orang daripada 32 keluarga berbanding 229 orang malam tadi yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai.
-- BERNAMA