AM

LELAKI REDAH BANJIR SAMBIL ANGKAT BAPA MENTUA LUMPUH

01/12/2024 12:49 PM

PAKA, 1 Dis (Bernama) -- Keadaan banjir yang semakin buruk dan paras air naik terlalu cepat di Kampung Pinang Merah di sini, telah memaksa dua keluarga bertindak segera untuk memastikan keselamatan insan tersayang mereka.

Antaranya Anuar Ahmad, 48, terpaksa meredah air pada paras paha semasa hujan bersama ahli keluarga untuk mengangkat bapa mentuanya Abdul Ghani, 83, yang berkerusi roda sejauh kira-kira 100 meter, sebelum naik ke kereta dan dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kampung Nyior, sekitar tiga kilometer dari kediaman.

“Air mula naik sejak 9.30 malam dan terus meningkat dengan cepat, di luar kebiasaan. Kami mula kemas barang sejak pukul 7 petang selepas mendapat amaran ramalan air pasang besar. Kami jangka air akan terus naik sehingga lusa.

“Ayah mentua saya menghidap penyakit gout dan lumpuh, jadi kami terpaksa pindahkan ayah ke PPS SK Kampung Nyior untuk keselesaan dan keselamatan. Kami minta untuk duduk di tingkat bawah di PPS berkenaan supaya dapat memudahkan beliau,” katanya ketika ditemui Bernama dekat sini.

Beliau berkata tindakan pantas itu diambil berikutan rumah bapa mentuanya sebelum ini pernah ditenggelami air sehingga ke paras dada dalam insiden banjir pada tahun-tahun sebelum ini.

“Sejurus dapat maklumat di telefon yang malam ini akan berlaku air pasang besar, kami anak-anak yang tinggal berdekatan terus bergegas ke sini, tolong kemas-kemas barang dan bersiap sedia untuk bawa ayah keluar. Kami bimbang sebab ayah tinggal berdua sahaja bersama ibu mentua Zaharah Jusoh yang berusia 75 tahun,” katanya.

Tinjauan Bernama di lokasi malam tadi mendapati kawasan terbabit khususnya di lokasi-lokasi kampung berhampiran Sungai Paka mula dinaiki air sehingga ke paras paha, berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku di Terengganu malam tadi.

Sementara itu, penduduk Mohd Lafi Mohamad, 59, yang merupakan anak jati kampung berkenaan berkata fenomena air pasang pada kali ini dilihat cukup luar biasa, berikutan paras air mula naik secara mendadak selepas Maghrib.

“Kami terkejut juga, dari jam 7 malam air sudah naik dengan laju walaupun siang pada Sabtu tidak hujan. Kami sudah kemas barangan dan sedia untuk pindah jika air terus naik. Sekarang ini air sudah naik sekitar dua hingga tiga kaki, tetapi kami masih menunggu keadaan.

“Kampung Pinang Merah ini terletak berhampiran Sungai Paka dengan jumlah sekitar 200 hingga 300 rumah. Penduduk di kawasan ini sudah biasa dengan banjir, namun kali ini mereka lebih risau kerana paras air sungai yang dilaporkan tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan