EKONOMI

CHINA, MALAYSIA PERLU TINGKATKAN KOMUNIKASI, PENYELARASAN DALAM PELBAGAI ISU - DUTA

05/12/2024 11:24 PM

SEPANG, 5 Dis (Bernama) -- China dan Malaysia perlu meningkatkan komunikasi dan penyelarasan dalam isu antarabangsa dan serantau, menyokong satu sama lain dengan baik, menentang dasar perlindungan serta menggalakkan liberalisasi perdagangan dan pelaburan, kata Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing. 

Beliau berkata sebagai wakil penting negara membangun dan ekonomi sedang pesat membangun di Asia, kedua-dua negara perlu memperjuangkan dunia multipolar yang saksama dan teratur serta globalisasi ekonomi yang inklusif dan saling memberi manfaat.

Ouyang turut menekankan keperluan kepada pembaharuan untuk menambah baik sistem tadbir urus global, melindungi keseimbangan antarabangsa, keadilan dan kepentingan bersama negara-negara  membangun.

“Berdasarkan pemulihan ekonomi global yang lembap, ekonomi digital dan pembangunan hijau menjadi pemacu baharu pertumbuhan ekonomi secara berperingkat.

“Sehubungan itu, kerjasama ekonomi dan perdagangan China-Malaysia berkembang kepada bidang baharu secara berperingkat dan menuju ke arah pembangunan berkualiti tinggi,” katanya dalam ucapan sempena pelancaran laporan 'Assessing the Roles of Chinese Enterprises in Malaysia's Economic Development' di sini hari ini.

Turut hadir untuk melancarkan bersama laporan itu ialah Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong. 

Laporan itu diterbitkan bersama oleh Dewan Perniagaan Perusahaan China di Malaysia (CECCM) dan Pusat Penyelidikan Asia Tenggara untuk Kemanusiaan (SEARCH).

Ouyang berkata untuk mencapai pertumbuhan ekonomi pada masa depan, ekonomi digital dan pembangunan hijau akan mewakili dua trend utama, sejajar dengan pembangunan berkualiti tinggi untuk inisiatif “Jalur dan Laluan” hijau.

Beliau menjemput kerajaan dan komuniti perniagaan Malaysia untuk menyertai Ekspo Perdagangan Digital Global di Hangzhou, Wilayah Zhejiang pada September untuk meninjau peluang baharu kerjasama dalam sektor digital. 

Bagi kerjasama pelaburan hijau, beliau menggalakkan syarikat untuk memberi tumpuan kepada bidang seperti tenaga bersih, kenderaan tenaga baharu, kewangan hijau dan pembinaan infrastruktur hijau.

“Pada detik penting ini yang menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia, saya yakin pada tahun-tahun akan datang, usahawan dan komuniti perniagaan dari kedua-dua negara akan terus mengekalkan semangat persahabatan China-Malaysia—'bersama-sama menempuh cabaran,” katanya.

Katanya dari 2014 hingga 2023, aliran pelaburan langsung tahunan China ke Malaysia hampir empat kali ganda, melebihi US$2 bilion pada 2023 (US$1=RM4.44). 

Sehingga akhir September 2024, katanya jumlah pelaburan terkumpul China di Malaysia telah melebihi US$19 bilion, menjadikannya sumber pelaburan utama di Malaysia selama bertahun-tahun, terutamanya dalam pelaburan sektor pembuatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan