AM

CADANGAN PINDAAN MAMPU TINGKATKAN PERLINDUNGAN TERHADAP JENAYAH DALAM TALIAN - ADUN JEMENTAH

06/12/2024 05:38 PM

JOHOR BAHRU, 6 Dis (Bernama) -- Cadangan pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Akta 589) merupakan langkah penting dalam melindungi rakyat Malaysia daripada ancaman dunia digital yang semakin berkembang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jementah Ng Kor Sim.

Beliau berkata pindaan ini menandakan komitmen yang amat diperlukan untuk menangani jenayah seperti eksploitasi kanak-kanak secara dalam talian, penipuan, dan ucapan kebencian sambil memastikan prinsip kebebasan dan akauntabiliti terus terpelihara.

Ng menegaskan bahawa kepentingan pindaan ini tidak boleh dipandang ringan memandangkan statistik rasmi menunjukkan kira-kira 100,000 kanak-kanak di Malaysia terdedah kepada eksploitasi dan penderaan seksual dalam talian setiap tahun.

Menurut beliau cadangan pindaan ini bukan sahaja meningkatkan hukuman tetapi juga memperkenalkan definisi yang lebih jelas tentang kandungan berbahaya, sekali gus mencerminkan kesungguhan kerajaan MADANI untuk membanteras pelanggaran tersebut.

“Selain keselamatan kanak-kanak, pindaan ini juga menangani ancaman jenayah siber yang semakin berleluasa. Pada 2023 sahaja, rakyat Malaysia kerugian sebanyak RM1.2 bilion akibat penipuan dalam talian, yang menunjukkan tahap kecanggihan penjenayah siber serta kekurangan perlindungan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata dengan memperkenalkan peruntukan untuk menangani penipuan, ketidakjujuran, dan mesej elektronik tidak diminta, pindaan ini bertujuan untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap ekonomi digital serta memastikan transaksi dalam talian lebih selamat untuk semua.

Ng turut menyatakan bahawa antara ciri menonjol dalam pindaan ini ialah usaha untuk mengkategorikan kandungan menghina kepada definisi yang jelas dan spesifik seperti bahan lucah, tidak senonoh, mengancam, dan sangat menghina.

“Kejelasan ini penting untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan serta menjamin kandungan berbahaya dapat dikenal pasti dan dihapuskan dengan pantas. Pada masa sama, pindaan ini turut menjaga keseimbangan dengan melindungi kewartawanan beretika, satira, dan ulasan berlandaskan niat baik,” katanya.

Menurut beliau, walaupun kebebasan bersuara kekal sebagai asas nilai demokratik Malaysia, ucapan kebencian dan retorik hasutan, khususnya di media sosial, semakin disalahgunakan untuk menimbulkan perpecahan, mencetuskan kekacauan, dan mengancam keharmonian yang menyatukan rakyat Malaysia sebagai sebuah negara.

Beliau juga berkata bahawa pindaan ini sejajar dengan amalan terbaik di peringkat global seperti yang dilaksanakan di Australia dan Singapura, yang telah menggubal undang-undang serupa untuk mengawal kandungan berbahaya serta meningkatkan perlindungan terhadap golongan rentan.

“Reformasi ini turut menangani kelemahan dalam penguatkuasaan dan akauntabiliti yang telah lama wujud. Terlalu lama pemangsa, penipu, dan penyebar kebencian mengambil kesempatan terhadap anonimiti serta capaian internet untuk menganiaya orang lain,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan