EKONOMI

MAYBANK IB JANGKA KDNK MALAYSIA BERKEMBANG 4.9 PERATUS PADA 2025

10/12/2024 01:38 PM


From Norsyafawati Ab Wahab

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menjangka pertumbuhan ekonomi Malaysia akan sederhana pada 2025, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar berkembang sebanyak 4.9 peratus berbanding 5.2 peratus tahun ini.

Dalam laporannya bertajuk “ASEAN Macro 2025 Year Ahead – Navigating Trade War 2.0”, bank pelaburan itu berkata ini didorong oleh faktor dalaman dan cabaran luaran.

Menurut Maybank IB, peningkatan pelaburan dan langkah-langkah dalam Belanjawan 2025 untuk meningkatkan gaji dan upah akan menyokong pertumbuhan pelaburan swasta.

Bagaimanapun, ia mengunjurkan pertumbuhan pelaburan swasta akan susut kepada 10 peratus pada tahun depan berbanding anggaran 12.3 peratus pada 2024.

Dari segi pelaburan awam, bank pelaburan itu menjangka kadar pertumbuhan yang perlahan sebanyak 4.8 peratus pada 2025 berbanding 11.5 peratus pada 2024. 

Menurut Maybank IB, ini mengambil kira, antara lain, komitmen perbelanjaan modal yang berterusan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dana pelaburan berkaitan kerajaan (GLIF) di bawah Program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP). 

Di bawah GEAR-uP, GLC dan GLIF dijangka melabur sebanyak RM120 bilion untuk pelaburan langsung domestik dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan peruntukan awal sebanyak RM25 bilion pada 2025.

Faktor lain termasuklah perbelanjaan pembangunan kasar negara sebanyak RM86 bilion pada 2025 dan ketidakpastian mengenai perbelanjaan modal Petronas berikutan "kelewatan" dalam pemindahan kawalan minyak dan gas serta hak kepada syarikat milik kerajaan Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

"Berdasarkan unjuran kami untuk pertumbuhan global yang perlahan (2.9 peratus pada 2025 berbanding anggaran 3.2 peratus tahun ini), kami mengunjurkan pertumbuhan lembap dalam eksport barangan dan perkhidmatan (5.0 peratus pada 2025 berbanding 5.8 peratus pada 2024) dan import (7.0 peratus pada 2025 berbanding 7.5 peratus pada 2024)," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan