AM

MALAYSIA YAKIN CAPAI SASARAN 4.2 JUTA PELANCONG INDONESIA TAHUN INI

11/12/2024 06:59 PM

JAKARTA, 11 Dis (Bernama) -- Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran menarik 4.2 juta pelancong Indonesia tahun ini, dengan tiga juta ketibaan direkodkan setakat Oktober, menurut Pengarah Tourism Malaysia Jakarta Hairi Mohd Yakzan.

Beliau menyifatkan pencapaian itu hasil daripada pelancaran laluan penerbangan baharu, pelbagai aktiviti promosi yang berkesan dan kerjasama kukuh dengan agensi pelancongan di seluruh negeri di Malaysia.

“Kami yakin akan mencapai sasaran dalam baki dua bulan,” katanya semasa program 'Gateway to Borneo' yang dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak dengan kerjasama AirAsia di sebuah hotel di Jakarta Barat.

Hairi turut mengumumkan bahawa Pameran Pelancongan Malaysia akan berlangsung dari 13 hingga 15 Dis di Yogyakarta untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama bagi penduduk tempatan dan kawasan sekitarnya.

Acara itu, yang dianjurkan bersama Persatuan Ejen Pelancongan Indonesia (ASTINDO) dan Persatuan Pengusaha Pelancongan dan Perjalanan Indonesia (ASITA), bertujuan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai satu daripada destinasi utama.

Pengunjung akan ditawarkan promosi tiket perjalanan, diskaun pakej pelancongan, tawaran istimewa daripada ejen dan pempamer, serta aktiviti menarik seperti cabutan hadiah, demonstrasi teh tarik dan persembahan tarian tradisional Malaysia, tambahnya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan