AM

SKUAD IHSAN MADANI LPP HULUR BANTUAN PASCA BANJIR DI KELANTAN

11/12/2024 08:23 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) hari ini melancarkan misi pascabanjir menerusi Skuad Ihsan MADANI bagi menyalurkan bantuan dengan peruntukan RM100,000 kepada kawasan terjejas di Rantau Panjang dan Tumpat, Kelantan.

Ketua Pengarah LPP, Amir Matamin berkata bantuan berupa pelbagai keperluan harian itu akan disalurkan ke beberapa lokasi penting seperti masjid, rumah anggota LPP, pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), dan pusat pemindahan sementara (PPS). 

"Misi ini melibatkan 89 sukarelawan yang terdiri daripada anggota LPP dari Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan, Institut Latihan Mekanisasi dan Automasi Peladang (ILMAP), serta Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS). 

"Dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM), misi akan dimulakan hari ini, dan dijangka berakhir pada 14 Dis. Namun, jika diperlukan, tempoh masa tersebut mungkin akan dilanjutkan," katanya selepas majlis pelepasan sukarelawan di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah LPP (Operasi) Nik Mohd Shaharil Nik Md Hashim, Timbalan Ketua Pengarah LPP (Pembangunan) Mohd Fauzi Badron dan Pengurus Besar NAFAS Muhammad Faris Ariffin.

Selain itu, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) LPP turut menyumbang pelbagai peralatan keperluan harian seperti barangan mencuci rumah, kit kebersihan diri, lampin pakai buang kanak-kanak, dan makanan siap dimakan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Amir berkata semangat kerjasama antara semua pihak yang terlibat dalam misi bantuan ini, termasuk ILMAP dan NAFAS, mencerminkan solidariti dalam membantu mangsa bencana.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan