KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengadakan perbincangan lanjut, berkaitan cadangan pindaan Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sabah (CAP.123) dengan Peguam Besar Negeri Sabah yang baharu, esok.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata perbincangan itu, bagi memastikan semua aspek undang-undang, operasi dan implikasi pindaan tersebut diteliti dengan lebih mendalam.
"Saya ingin tegaskan bahawa sebarang pindaan terhadap CAP 123 ini, memerlukan persetujuan dan kelulusan daripada Kerajaan Negeri Sabah terlebih dahulu, sebelum sebarang pindaan dibuat di peringkat Persekutuan," katanya dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.
Shamsul Anuar berkata pihaknya juga akan memastikan semua proses tersebut berjalan dengan lancar supaya tidak melanggar apa-apa peraturan.
Beliau berkata cadangan pindaan ordinan itu hasil daripada perbincangan bersama Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah (SAGC) sejak Jun 2020 dan beberapa bengkel mesyuarat yang melibatkan pihak berkenaan.
Berkenaan langkah untuk meningkatkan pengawasan dan tahap keselamatan di kawasan perairan Sarawak terutama di Beting Patinggi Ali, beliau berkata KDN menerusi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), akan memastikan sekurang-kurangnya dua aset APMM melakukan rondaan setiap masa di kawasan terlibat.
"Manakala pengawasan melalui aset udara dari semasa ke semasa juga akan terus dilaksanakan, bagi membolehkan kita mengesan pencerobohan di perairan negara di Laut Cina Selatan dalam pengawasan yang lebih luas.
"Selain itu, kita akan membangunkan pembangunan radar Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) di Sarawak kerana kawasannya di situ luas dan pengawasan melalui radar ini telah banyak membantu meningkatkan pengetahuan dan penghasilan tangkapan dalam negara," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam penggulungan bagi kementerian itu berkata setakat ini, tiada lagi cadangan untuk menggubal undang-undang khusus bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam politik.
Beliau berkata cadangan itu memerlukan penelitian khusus daripada kerajaan dan persetujuan menyeluruh daripada semua parti politik.
"Saya ingin menyeru agar semua parti politik dapat memberikan komitmen, supaya wanita diberikan peluang yang saksama untuk terus melibatkan diri sebagai pemimpin parti, terutamanya menjadi calon dalam pilihan raya.
"Sekiranya setiap parti mengambil serius dan mendukung dasar sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita, ia boleh dicapai walaupun tanpa melalui perundangan," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan ketika sesi penggulungan kementerian itu, memaklumkan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) telah membelanjakan 100 peratus daripada peruntukan RM100 juta yang diberi pada 2023 dan 98.9 peratus pada 2024.
Beliau berkata ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu pada 2016-2022, yang terdapat baki peruntukan tidak habis dibelanjakan oleh MITRA untuk pembangunan masyarakat India.
"Saya ambil contoh pada 2020 hingga 2022 iaitu ketika negara sedang dilanda wabak COVID-19, kerajaan hanya membelanjakan sekitar 62 hingga 65 peratus daripada peruntukan MITRA, menyebabkan MITRA tidak membelanjakan sekitar RM108 juta yang akhirnya dikembalikan kepada Kementerian Kewangan.
"Ini merupakan satu kerugian yang sangat besar kerana peruntukan-peruntukan tersebut sepatutnya digunakan untuk tujuan bantuan dan kebajikan kepada masyarakat India yang dilanda kesusahan akibat wabak COVID-19," katanya.
-- BERNAMA