KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Kempen literasi digital TikTok, #ThinkTwice yang dilancarkan September lepas, memberi inspirasi kepada berjuta-juta rakyat Malaysia untuk melihat dan merenung kembali perkara yang dikongsikan, komen dan disiarkan secara dalam talian.
Kempen itu diadakan dengan kerjasama Content Forum, All Women's Action Society (AWAM) dan Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA Malaysia) serta kolaborasi dengan pencipta kandungan tempatan.
Ia bertujuan mendidik masyarakat mengenai Garis Panduan Komuniti TikTok dan ciri-ciri keselamatan aplikasi itu, selain untuk mempromosikan komuniti dalam talian yang lebih baik dan positif.
TikTok dalam kenyataan memaklumkan rakyat Malaysia menyambut baik seruan #ThinkTwice, dengan lebih 26.2 juta tontonan direkodkan bagi kandungan pendidikan oleh @tiktok_malaysia berkaitan definisi ucapan kebencian, kaedah untuk melaporkan kandungan yang melanggar peraturan, cara mengaktifkan ciri Comment Care dan sebagainya.
"Kandungan oleh pencipta kandungan tempatan popular, seperti @yimotapir, @wfsufina, @ggatorart,@wananimation dan @lawyergandhi serta pertubuhan masyarakat sivil seperti @mycontentforum, @awammalaysia dan @miasa.malaysia, selain lagu rap asli oleh @mozi4real turut membantu menyebarkan kebaikan dan menggalakkan nilai positif, mengumpul lebih 1.6 juta tontonan.
"Selain itu, lebih 417,000 penonton menyertai tiga webinar #ThinkTwice yang disiarkan secara langsung, menampilkan profesional kesihatan mental daripada MIASA, pakar daripada Content Forum dan AWAM, serta pencipta kandungan seperti @fizasinhaa, @papimrazzamar dan @uncletokok manakala hab sumber #ThinkTwice merekodkan kira-kira 300,000 kunjungan," menurut kenyataan berkenaan.
Sementara itu, TikTok memberitahu lebih 500 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) berikrar untuk menyokong kempen #ThinkTwice dan membantu membina komuniti dalam talian yang lebih baik dengan kerjasama Content Forum.
Pengurus Jangkauan dan Perkongsian TikTok untuk Indonesia, Malaysia dan Filipina Waskito Jati dalam kenyataan sama berkata memastikan keselamatan ruang dalam talian memerlukan usaha bersama.
"TikTok komited untuk bekerjasama dengan organisasi masyarakat sivil, rakan industri, pendidik dan pencipta kandungan untuk memperkasakan pengguna agar #ThinkTwice (berfikir dua kali sebelum bertindak), bertanggungjawab atas tindakan mereka dan menyumbang kepada komuniti dalam talian yang sihat dan positif," katanya.
-- BERNAMA