KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Bapa kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang dilahirkan dengan penyakit jantung kongenital merayu sumbangan orang ramai bagi membiayai pembedahan anaknya di Amerika Syarikat (AS).
S. Harsheetaa Sai yang juga murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Saraswathy di sini, berjuang melawan penyakit itu sejak lahir dan memerlukan bantuan kewangan untuk menjalani prosedur di Hospital Kanak-kanak Boston di Massachusetts.
Bapanya, R. Selva Ganapathy, 42, berkata doktor menganggarkan prosedur dan penjagaan selepas pembedahan menelan belanja sekitar US$350,000 (kira-kira RM1.5 juta).
“Selepas meneliti laporan perubatannya, pihak hospital mengesahkan pembedahan boleh dilakukan, walaupun kos akhir masih belum ditentukan,” katanya kepada Bernama.
Selva berkata Harsheetaa sebelum ini telah menjalani dua pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) - pertama ketika berusia 18 bulan dan kedua pada usia empat tahun - namun keadaan kesihatannya ketika ini semakin merosot.
“Paras oksigennya menurun ke tahap yang sangat berbahaya. Tanpa rawatan segera boleh merisikokan organ penting,” kata Selva yang juga seorang guru di sekolah anaknya.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB (7001233409) atau dengan menghubungi beliau di talian 012-2522689 untuk maklumat lanjut.
-- BERNAMA