PAPAR, 27 Feb (Bernama) -- Seramai 72,039 ketua isi rumah (KIR) di Sabah yang berdaftar eKasih mula menerima bantuan Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) 2025 sebanyak RM300 untuk fasa pertama bagi Januari hingga Mac ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata bantuan itu akan dimasukkan ke akaun bank penerima bagaimanapun lebih 19,000 KIR masih belum menerima bantuan berkenaan kerana belum ada data dalam sistem Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ).
Justeru, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengadakan program outreach sebagai inisiatif bagi memastikan penerima dapat menerima bantuan berkenaan, terutamanya menjelang Ramadan.
“Saya minta semua jentera yang ada agar membantu Sekretariat SMJ, kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat kawasan di Sabah ini membuat inisiatif untuk membolehkan rakyat tidak ketinggalan daripada menerima bantuan ini.
“Dengan adanya inisiatif ini, ia akan dapat membantu meringankan beban sara hidup rakyat, khususnya golongan yang memerlukan dan peringkat awal ini, bantuan dibuat secara bersasar yang memberi keutamaan kepada senarai eKasih,” katanya kepada pemberita selepas program Advokasi Sara Hidup dan Pembukaan Akaun Bank penerima sumbangan SYUKUR di sini hari ini.
Pada 19 Feb lepas, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor melancarkan SYUKUR 2025 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama yang bakal memberi manfaat kepada 100,000 penerima di Sabah.
Untuk fasa satu pada Januari-Mac agihan bermula Februari, fasa kedua (April-Jun), fasa ketiga (Julai-September) dan fasa keempat (Oktober-Disember).
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata KIR dengan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi negeri Sabah iaitu sebanyak RM2,742 dan miskin tegar RM1,218 layak untuk memohon bantuan itu secara dalam talian di portal Sekretariat SMJ.
Beliau berkata ia melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM358.5 juta yang menunjukkan komitmen kepimpinan kerajaan di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) PH plus yang mahukan rakyat merasai manfaat daripada peningkatan hasil kerajaan negeri.
“Ini bukan bantuan gula-gula pilihan raya … kita bagi secara terus (bantuan). Mungkin peringkat awal ini perlu daftar butiran tetapi mereka akan terima (duit) dalam akaun masing-masing,” katanya sambil menambah pembukaan akaun bank tidak dikenakan sebarang bayaran.
-- BERNAMA