AM

KPM PASTIKAN KESEJAHTERAAN GURU TERPELIHARA, TANGANI SEGERA BULI SIBER

27/02/2025 06:36 PM

KANGAR, 27 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan kesejahteraan guru sentiasa terpelihara dan setiap isu berkaitan kesejahteraan mereka termasuk buli siber diberikan perhatian, sekali gus ditangani segera.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata guru perlu sentiasa dilindungi untuk menjamin warga pendidik itu dapat menjalankan tugas hakiki dengan baik dan tanpa gangguan. 

"Apabila ada aduan atau kes buli siber melibatkan guru, kes itu perlu diambil tindakan segera oleh pihak sekolah dan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) bagi tujuan melindungi guru berkenaan. 

"Laporan kepada pihak berkuasa juga perlu dibuat bagi kes yang berada di luar bidang kuasa KPM. Guru yang terlibat akan diberikan sokongan psikososial untuk membantu memulihkan emosi," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program Jamalullail Digital In School Perlis (JLiDS) di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baru-baru ini, tular di media sosial seorang ibu mendakwa dilaung teriakan boo oleh guru sekolah anaknya yang juga murid tahun satu selepas dia berjaya menjumpai anaknya itu, yang pada mulanya tidak ditemui di kawasan menunggu.

Fadhlina berkata pihak sekolah, PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah mengambil tindakan segera bagi membantu guru terbabit seterusnya mencari jalan penyelesaian selain pihak polis juga telah dirujuk bagi mendapatkan nasihat tindakan yang perlu diambil.

"Sesi kaunseling bersama-sama guru juga telah diatur bagi membantu dari aspek psikososial," katanya.

Fadhlina berkata semua guru perlu cakna terhadap perilaku buli siber seperti yang terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 11 Tahun 2023: Garis Panduan Nilai dan Etika Penggunaan Media Sosial KPM.

Beliau berkata ia penting bagi memastikan mereka mempunyai kesedaran yang jika situasi itu berlaku boleh segera membuat aduan kepada pihak pentadbir sekolah.

"Pihak pentadbir sekolah, PPD dan JPN pula diingatkan untuk mengambil tindakan segera sekiranya perkara seperti ini terjadi supaya guru dapat dilindungi," katanya.

Sementara itu, Fadhlina menyeru ibu bapa dan seluruh masyarakat untuk sentiasa menghormati profesion perguruan yang sekiranya terdapat sebarang ketidakpuasan hati, ia sepatutnya diselesaikan secara baik dan harmoni.

Beliau berkata ibu bapa boleh membuat sebarang aduan kepada pihak sekolah atau menerusi platform aduan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPM.

Terdahulu, semasa berucap pada majlis pelancaran itu, Fadhlina berkata program JLiDS ialah momentum ke arah meningkatkan akses kepada pendidikan digital selaras dengan Dasar Pendidikan Digital negara. 

Beliau berkata hasil inisiatif program itu, 74 sekolah rendah serta sebuah sekolah dalam hospital di negeri Perlis akan menerima papan pintar dan peralatan teknologi terkini.

"Saya yakin dan percaya dengan bantuan peralatan teknologi ini, guru-guru dapat meningkatkan kualiti kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam suasana yang lebih dinamik. 

"Kaedah ini menjadi platform terbaik kepada murid untuk meneroka dunia digital yang semakin berkembang pesat," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan