KOTA BHARU, 27 Feb (Bernama) -- Proses penggantian paip lama di Kelantan memerlukan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan berikutan kos tinggi untuk menggantikan paip uzur yang berusia puluhan tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin berkata terdapat 4,000 kilometer paip lama berusia 40 tahun yang perlu diganti, dengan anggaran kos RM1 juta bagi setiap kilometer.
Beliau berkata kerajaan negeri hanya mampu menyiapkan sekitar 150 kilometer setahun bergantung kepada kemampuan kewangan.
“Projek penggantian paip lama sedang dijalankan melalui peruntukan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berjumlah RM174.86 juta, melibatkan penggantian 226 kilometer paip baharu.
“Namun, jumlah ini masih belum mencukupi untuk menyelesaikan masalah bekalan air secara menyeluruh,” katanya selepas merasmikan Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Telok, Panji di sini hari ini.
Izani berkata Kelantan melalui Air Kelantan Sendirian Berhad telah menyenaraikan projek penggantian paip dalam dua pakej utama.
"Pakej satu melibatkan 103 kilometer paip di kawasan seperti Desa Darul Naim, Tanjung Mas dan Bandar Kuala Krai, manakala pakej dua pula melibatkan 123 kilometer paip meliputi kawasan seperti Taman Uda Murni, Kedai Buloh dan Pekan Kok Lanas.
“Kelantan menghadapi cabaran besar dalam sistem bekalan air akibat paip usang, kebocoran dan kadar air tidak berhasil yang tinggi, menyebabkan gangguan bekalan kepada penduduk,” katanya.
Izani berkata campur tangan Kerajaan Persekutuan dalam bentuk geran khas atau tambahan peruntukan amat diperlukan bagi mempercepatkan penggantian paip serta meningkatkan sistem bekalan air.
Sementara itu, beliau berkata LRA Kampung Telok yang telah beroperasi dijangka mampu membekalkan 30 juta liter sehari kepada kira-kira 13,000 akaun pengguna di sekitar Pengkalan Chepa dan Pantai Cahaya Bulan.
-- BERNAMA