GEORGE TOWN, 27 Feb (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang meluluskan jajaran baharu Laluan Berkembar Pesisir Pantai Utara (NCPR) dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang dengan kos pelaksanaan dianggar berjumlah RM2.43 bilion bagi mengurangkan masa perjalanan dan kesesakan lalu lintas di jalan sedia ada.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata laluan Pakej 1 di bawah Komponen Jalan Utama dan Laluan ke-3 (PMRT) yang sedang diilaksanakan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) melibatkan 10.61 kilometer (km) meliputi 8.41km jalan utama dan 2.2km laluan pesisir pantai.
"Laluan bermula dari persimpangan Jalan Lembah Permai (Tanjung Bungah) dengan melalui sepanjang pesisir pantai melepasi Masjid Terapung Tanjung Bungah dan bersambung semula dengan laluan utama berhampiran Pantai Shamrock, menghubungkan Batu Ferringhi sebelum berakhir di Teluk Bahang.
"Jajaran baharu dipilih bagi mengelak kawasan kediaman padat di beberapa kawasan dengan 70 peratus daripada jalan itu akan melalui kawasan berbukit," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Chow menjelaskan kerajaan negeri akan membiayai sebahagian pembinaan sepanjang 4.88km dari Jalan Tanjung Bungah ke Jalan Sungai Emas melalui kaedah pertukaran tanah kepada pihak CZC manakala CZC akan membiayai jajaran sepanjang 5.73km melalui kaedah kontra pada kemajuan masa hadapan pihaknya di Pulau Pinang.
Chow memaklumkan kos pengambilan tanah dianggarkan sebanyak RM500 juta dengan perincian kos bagi kedua-dua bahagian pembinaan akan dimuktamadkan bersama reka bentuk terperinci.
Pembinaan dijangka bermula tahun hadapan dan akan mengambil masa lima tahun selepas pindaan kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dibuat untuk jajaran baharu bagi laluan pesisir pantai, memandangkan kelulusan EIA bagi laluan jalan telah diperoleh sebelum ini.
Beliau berkata subperjanjian akan dimeterai selepas reka bentuk terperinci dimuktamadkan, dijangka mengambil masa enam bulan.
"Laluan alternatif dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang ini dijangka mengurangkan masa perjalanan antara 30 hingga 40 minit kepada tujuh minit dan mampu meningkatkan tumpuan ke destinasi pelancongan utama iaitu Teluk Bahang, Batu Ferringhi dan George Town," katanya.
PMRT merupakan inisiatif infratsruktur utama di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), bertujuan meningkatkan kelancaran aliran trafik dan usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri itu.
Pakej 2 juga dikenali sebagai Jalan Pintasan Air Itam ke Tun Dr Lim Chong Eu merupakan pakej pertama yang memulakan pembinaan dan pada masa ini telah mencapai lebih 73 peratus kemajuan kerja.
-- BERNAMA