JERLUN, 27 Feb (Bernama) -- Petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pemilihan kawasan itu bagi melaksanakan program tanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun, fasa satu.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA Ishak Taib berkata petani di Kedah dan Perlis bersyukur kerana Perdana Menteri sanggup turun padang untuk bersama dan bertemu petani selain menyampaikan bantuan.
"Terima kasih kepada Perdana Menteri serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu kerana memilih MADA Kedah dan Perlis untuk menjalankan projek penanaman padi lima musim dalam dua tahun ini. Ia bermakna jerih perih petani dilihat oleh pihak atasan (kerajaan).
"Ini projek yang besar, secara tidak langsung ia dapat memberikan rezeki tambahan kepada petani. Maksudnya, bila dilancarkan projek ini akan ada satu tambahan baharu buat petani," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Bagi Tempoh Dua Tahun di Ayer Hitam di sini hari ini.
Sementara itu, Azhar Bakar, 62, yang mengusahakan tanaman padi di kawasan MADA berkata keprihatinan kerajaan terhadap petani dan program penanaman padi lima musim dalam dua tahun itu sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan ekonomi golongan tersebut.
"Kami memang sudah lama mengusahakan tanaman padi, apabila ada program ini kerja mungkin sedikit bertambah tetapi hasil dan pendapatan nanti akan lebih baik berbanding sebelum ini. Jadi, sebagai petani di bawah kawasan MADA memang kami bersyukur apabila terpilih untuk terlibat dalam projek ini," katanya.
Zainol Abidin Ramli, 54, yang mengusahakan tanaman padi di Pokok Sena pula berkata dengan adanya program itu diharap selepas ini, petani di sini tidak lagi berdepan masalah yang sama antaranya bekalan air.
“Apabila semua infrastruktur ini siap sudah pasti akan memberi kelegaan kepada golongan petani sekali gus membantu meningkatkan hasil padi negara dan tidak perlu lagi bergantung kepada negara luar,” katanya.
Sementara itu, di Perlis, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan negeri Razali Saad menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan atas pelaksanaan program tersebut yang turut melibatkan enam kawasan di negeri itu seluas 4,916.3 hektar.
Beliau berkata enam kawasan itu melibatkan tiga di Kayang manakala satu kawasan masing-masing di Arau, Tambun Tulang dan Simpang Empat yang bakal memanfaatkan 2,833 petani.
“Daripada 15 kawasan terlibat untuk fasa satu ini, Alhamdulillah Perlis dapat enam kawasan yang melibatkan peruntukan lebih RM200 juta. Pengambilan tanah dah selesai dan akan buat proses seterusnya," katanya yang turut optimis pelaksanaan program itu akan meningkatkan hasil pengeluaran padi di Perlis.
-- BERNAMA