AM

PROSES PENGUNDIAN DIASPORA MALAYSIA AKAN DIPERMUDAH - PM

14/05/2025 05:43 AM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

MOSCOW, 14 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan proses pengundian untuk rakyat Malaysia di luar negara akan dipermudah dan setiap pengundi yang layak dapat melaksanakan hak masing-masing tanpa kekangan.

Beliau berkata terdapat pengundi di luar negara, termasuk pelajar, yang layak mengundi namun tidak dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing disebabkan proses pengundian yang sukar terutama mereka yang berada di Rusia.

Perdana Menteri berkata pada masa ini, terdapat pelbagai kaedah dan sistem canggih yang perlu dimanfaatkan untuk memantap dan memudahkan proses pengundian untuk rakyat Malaysia di luar negara.

"Saya maklum bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah suruhanjaya bebas tetapi kenapa SPR tidak dapat pastikan setiap rakyat, di mana sahaja mereka berada, dapat menunaikan hak mengundi.

"Kita telah beri pandangan dan cadangan kepada pihak SPR... kita akan pastikan sebelum Pilihan Raya Umum akan datang, sudah ada proses ini," katanya ketika menjawab soalan pada sesi Bertemu Rakyat Malaysia di Rusia sempena lawatan rasmi beliau ke negara ini bermula Selasa.

Anwar berkata demikian sebagai maklum balas terhadap perkongsian pelajar Malaysia di sini mengenai kesukaran yang dihadapi untuk mengundi dan mengakses laman sesawang kerajaan berkait proses pengundian.

Beliau tiba di Moscow untuk lawatan rasmi empat hari dan telah diberikan Kawalan Kehormat sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo-2 di sini pada 6.26 petang waktu tempatan (11.26 malam waktu Malaysia).

Lawatan rasmi itu, yang berlangsung hingga 16 Mei, adalah atas undangan Presiden Rusia Vladimir Putin dan merangkumi kunjungan ke beberapa lokasi utama di Moscow serta Kazan, Tatarstan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengetuai delegasi terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Li Kang, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan