AM

HAWANA PERLU BAWA ISYARAT BAHAWA PERANAN WARTAWAN BERTERUSAN

14/05/2025 09:22 AM

Oleh Mohd Fakri Awang Lah

MELAKA, 14 Mei (Bernama) -- Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) perlu menjadi isyarat kepada semua pihak bahawa peranan pengamal media di negara ini ialah berterusan sepanjang masa dan perlu diiktiraf terutama dalam menyalurkan maklumat.

Presiden Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) Amir Mamat berkata HAWANA yang disambut pada 29 Mei setiap tahun bukan sekadar meraikan sumbangan profesion kewartawanan kepada negara, tetapi juga mendekatkan lagi rakyat dengan saksi dan pencerita setiap peristiwa penting. 

“HAWANA tahun ini wajar dikembangkan kepada beberapa lapisan untuk memberi kefahaman kepada masyarakat tentang tugas sebenar wartawan dan pengamal media," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Selain itu, Amir berkata bagi melengkapkan dan menyampaikan pelaporan berita, semua pihak termasuk kerajaan negeri boleh menjadikan wartawan sebagai "rakan rapat" mereka serta tidak berasa bimbang untuk bersahabat dengan golongan media. 

Amir berkata dalam usaha mendepani cabaran terkini industri media, Pendika berharap Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia dapat direalisasikan pembentukannya pada sambutan HAWANA tahun ini. 

Beliau berkata menerusi pembentukan lembaga pengasas itu, ia diyakini mampu menjadi titik mula kepada banyak perkara, khususnya dalam memastikan profesion wartawan tidak terus diselekehkan.

“Dengan penubuhan Majlis Media Malaysia, tiada yang perlu ditakutkan oleh mana-mana pihak sama ada wartawan atau mereka yang dilaporkan selagi ia tidak melanggar mana-mana etika kewartawanan yang ditetapkan,” katanya.

Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Februari lepas.

Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA 2025 akan diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan sambutan berkenaan dengan anggaran kehadiran kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

HAWANA, yang memasuki edisi kelima tahun ini selepas penganjuran kali pertama pada 2018, merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pengamal media bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan