Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif dan Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Ringgit memulakan sesi urus niaga Rabu dengan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan ketegangan dagangan AS-China terus mereda, sekali gus menyuntik sentimen positif di pasaran, mengurangkan kebimbangan berlakunya kemelesetan serta merangsang sentimen minat risiko dalam kalangan peniaga dan pelabur, kata penganalisis.
Pada 8.01 pagi, ringgit meningkat kepada 4.3045/3245 berbanding dolar AS daripada 4.3185/3250.
Ketua Ahli Ekonom Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata indeks harga pengguna (IHP) AS meningkat 2.3 peratus tahun ke tahun pada April, lebih rendah daripada jangkaan pasaran 2.4 peratus manakala IHP teras kekal pada 2.8 peratus.
“Penurunan IHP itu juga menunjukkan bahawa kebimbangan terhadap inflasi yang disebabkan oleh tarif AS mungkin tidak lagi ketara pada masa ini,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata data ekonomi juga menunjukkan Rizab Persekutuan AS (Fed) mempunyai ruang dasar bagi mengurangkan Kadar Dana Fed di masa depan.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed yang bermesyuarat pada 17-18 Jun depan dilihat sebagai penting ketika bank pusat AS itu membuat persiapan bagi mengumumkan unjuran makroekonomi bagi suku terkini, katanya.
Indeks Optimis Perniagaan Bebas terkini yang mencerminkan sentimen perniagaan kecil, susut sebanyak 95.8 mata pada April -- penurunan bulan keempat berturut-turut sejak Januari tahun ini.
"Oleh itu, alasan menurunkan kadar faedah adalah wajar berikutan sentimen perniagaan yang lemah akan menyebabkan pengurangan perbelanjaan modal dan minat pengambilan pekerja," katanya.
Mengulas ringgit, Mohd Afzanizam berkata unit tempatan itu telah susut nilai sebanyak 2.8 peratus berbanding dolar AS sejak 5 Mei.
Pada Selasa, ringgit susut berbanding dolar AS yang mencecah paras RM4.34 pada pagi, namun pulih kepada RM4.3218 pada tengah hari.
“Ini menunjukkan sokongan terhadap ringgit adalah agak ketara berikutan minat terhadap risiko dalam ekuiti global lazimnya memberi manfaat kepada mata wang negara pesat membangun, termsuk ringgit.
“Berikutan itu, gandingan USD/MYR diunjur dalam julat RM4.32 hingga RM4.33 hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ringgit mengukuh pada 2.9179/9319 berbanding yen Jepun daripada 2.9181/9227 namun turun berbanding euro kepada 4.8146/8370 dari 4.7961/8033.
Unit tempatan itu juga susut berbanding pound Britain pada 5.7258/7524 daripada 5.7056/7142 sebelumnya.
Bagaimanapun, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang negara ASEAN lain termasuk mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3076/3235 daripada 3.3084/3137 dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 258.8/260.2 daripada 259.7/260.2.
Ringgit juga meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9521/13.0229 daripada 12.9958/13.0240 dan naik berbanding peso Filipina pada 7.71/7.76 daripada 7.74/7.76 sebelumnya.
-- BERNAMA