KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hari ini mengumumkan pelantikan bekas Setiausaha Bahagian Perolehan, Kementerian Pertahanan Malaysia, Mohammad Abiddin Abd Rahman sebagai Ketua Pesuruhjaya APM yang baharu.
Menurut kenyataan APM, pelantikan Mohammad Abiddin yang berkuat kuasa 3 Nov lepas adalah bagi menggantikan Datuk Aminurrahim Mohamed, yang dilantik sebagai Setiausaha Bahagian Kanan di Kementerian Komunikasi.
“Mohammad Abiddin berasal dari Sandakan, Sabah, merupakan siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia dengan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dan turut memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia.
“Beliau mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam perkhidmatan awam, dengan kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan dan perolehan,” menurut kenyataan itu.
APM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Aminurrahim atas kepimpinan serta sumbangan beliau sepanjang tempoh menerajui agensi berkenaan.
-- BERNAMA
