EKONOMI

TXA 2025 BAKAL JADI PLATFORM STRATEGIK TARIK PELABURAN ASING, PERKUKUH KERJASAMA ANTARABANGSA

11/11/2025 07:26 PM

SEPANG, 11 Nov (Bernama) -- Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2025 akan menjadi platform strategik bagi menarik pelaburan asing dan memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam sektor pengangkutan hijau serta digital, kata Kementerian Pengangkutan.

Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah berkata penganjuran TXA 2025 bukan sekadar pameran industri, sebaliknya medan penting untuk memperkenalkan dasar baharu kerajaan, peluang pelaburan serta inisiatif inovatif kepada pemain industri global dan tempatan.

“TXA menjadi platform strategik bagi memperkenalkan inisiatif baharu, dasar kerajaan dan peluang pelaburan kepada pemain industri global dan tempatan,” katanya dalam temu bual bersama Bernama di Bernama Mobile Studio, di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook merasmikan TXA 2025 yang bertemakan “Future on the Move: Digital, Sustainable Transport, Agile Logistics and ESG-Driven Supply Chains”.

Mengulas lanjut, Hasbi berkata TXA berperanan sebagai pusat pertemuan industri serantau, menyediakan ruang pertukaran pengetahuan, teknologi dan inovasi terkini serta menghubungkan penggubal dasar, pengendali industri dan penyedia teknologi bagi memperkukuh integrasi sistem pengangkutan ASEAN. 

TXA yang menghimpunkan lebih 100 syarikat global turut memberi manfaat melalui pemindahan teknologi, peluang pelaburan bersama dan meningkatkan kapasiti teknologi tempatan.

Hasbi berkata kerajaan terus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan mampan menerusi dasar seperti Pelan Induk Logistik dan Trade Facilitation serta inisiatif pengangkutan hijau.

"Ia turut merangkumi insentif cukai untuk teknologi hijau, pembangunan infrastruktur rendah karbon serta penggunaan tenaga boleh baharu dalam sektor logistik dan pengangkutan awam,” katanya.

Kementerian Pengangkutan (MOT), katanya, juga memberi sokongan kepada sektor swasta dalam melaksanakan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan menyediakan panduan pelaksanaan ESG serta galakan berbentuk insentif dan sokongan kewangan.

Selain itu, kerajaan menggalakkan penggunaan teknologi automasi, sistem digital dan penyelesaian pintar bagi meningkatkan kecekapan operasi serta daya saing sektor swasta, katanya.

Beliau berkata cabaran utama dalam mempercepatkan agenda pengangkutan hijau termasuk kos pelaksanaan teknologi yang tinggi dan keterbatasan infrastruktur tenaga boleh baharu.

“Kementerian terus berusaha mengatasi cabaran ini melalui kerjasama dengan industri dan agensi antarabangsa bagi memperluas adaptasi teknologi hijau,” kata beliau.

Dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan dan alam sekitar, Hasbi berkata kementerian mengamalkan pendekatan Infrastruktur Hijau bagi memastikan setiap projek pembangunan menepati garis panduan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) seiring dengan pemeliharaan alam sekitar.

TXA 2025 turut disertai penganjuran Road Safety Congress (RSC) yang memberi tumpuan kepada keselamatan jalan raya serta kesedaran awam, kata Hasbi.

Beliau berkata TXA menumpukan kepada inovasi, teknologi dan mobiliti pintar, manakala RSC memfokuskan kepada keselamatan jalan raya dan penguatkuasaan.

“Kedua-duanya saling melengkapi dalam mencapai objektif keselamatan dan kemampanan pengangkutan negara,” katanya.

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan