JENAYAH & MAHKAMAH

PEMANDU RENTUNG, LORI KONTENA TERBABAS DAN TERBAKAR DI KM254 LEBUHRAYA PLUS

12/11/2025 09:27 AM

IPOH, 12 Nov (Bernama) -- Seorang pemandu rentung selepas lori kontena yang dipandunya terbabas dan terbakar di Kilometer 254 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, awal pagi tadi.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar serta Meru Raya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 3.19 pagi.

 "Kebakaran melibatkan sebuah kontena sejuk beku yang membawa muatan sayur-sayuran, yang dipercayai terbabas ke tepi jalan sebelum terbakar.

"Mangsa, lelaki berusia 64 tahun disahkan maut di tempat kejadiaan oleh pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar berdasarkan keadaan fizikal mangsa yang telah rentung," katanya dalam satu kenyataan.

Shazlean berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjutn dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.07 pagi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan