Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Timor-Leste mempelawa pelabur ASEAN untuk menyertai pembangunan projek medan gas Greater Sunrise, yang dijangka membuka peluang pelaburan baharu dan memperkukuh penyertaan industri tempatan, kata Duta Besarnya ke Malaysia Lisualdo Gaspar.
Menurutnya industri petroleum kekal sebagai tunjang ekonomi Timor-Leste yang berperanan sebagai sumber pendapatan utama untuk pembangunan infrastruktur dan kemajuan negara.
Beliau turut menegaskan pendirian negara itu bahawa projek medan gas Greater Sunrise, yang terletak 150 kilometer di selatan Timor-Leste, akan memaksimumkan manfaat ekonomi dan melahirkan peluang pekerjaan untuk negara itu.
“Pendirian kerajaan kami adalah jelas, kami mahu saluran paip dan pemprosesan akan dibangunkan di Timor-Leste untuk membolehkan pembangunan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan.
“Kami mengalu-alukan pemain sektor swasta dari negara ASEAN terutama Malaysia untuk datang dan melabur dalam industri petroleum di Timor-Leste sama ada dalam pangkalan pembekalan kami atau bekerjasama dengan syarikat tempatan untuk menyediakan perkhidmatan bagi operasi medan gas Greater Sunrise,” katanya dalam program The Nation bertajuk Timor-Leste’s ASEAN Journey Begins di Bernama TV.
Beliau berkata perbincangan mengenai medan gas Greater Sunrise masih dijalankan dan keputusan mengenai hala tuju pembangunannya dijangka dilaksanakan pada awal tahun hadapan.
Sementara itu, mengenai penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN, Lisualdo berkata langkah itu menandakan pencapaian penting bagi pertumbuhan ekonomi negara muda itu selain peluang untuk menjajarkan ekonominya mengikut standard blok serantau.
Pada masa ini, keutamaan segera negara berkenaan adalah mematuhi instrumen perundangan di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN sambil menyelaraskan peraturan domestik agar sejajar dengan standard serantau.
“Melalui proses penyertaan dalam ASEAN ini, kami menyelaraskan perundangan kami mengikut standard dan amalan ASEAN. Proses ini akan meningkatkan keyakinan pelabur dan menarik mereka untuk datang dan menjalankan perniagaan dengan Timor-Leste,” katanya kepada Bernama selepas program The Nation.
Beliau berkata walaupun Timor-Leste masih membangunkan infrastrukturnya, akses pasaran khas negara itu memberikan pelabur potensi yang besar terutama dari ASEAN.
“Sebagai negara paling kurang membangun, kami mempunyai akses keutamaan ke Kesatuan Eropah, India, New Zealand dan Australia serta tarif yang lebih rendah ke Amerika Syarikat. Oleh itu, pelabur dari Malaysia dan ASEAN boleh melihat Timor-Leste sebagai hab untuk pemprosesan atau pengeluaran bagi pasaran tertentu,” katanya.
-- BERNAMA
