PUTRAJAYA, 12 Nov (Bernama) -- Prestasi projek pembangunan tahun ini masih kurang memberangsangkan dan memerlukan penambahbaikan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata daripada jumlah peruntukan sebanyak RM85.87 bilion bagi 9,524 projek, sebanyak RM64.03 bilion telah dibelanjakan, dengan purata nasional mencapai 74.56 peratus. Hanya 16 kementerian sahaja berjaya melepasi tahap purata nasional.
"Justeru itu, saya meminta setiap Ketua Setiausaha (KSU) mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) seperti dijadualkan dalam Arahan No.1 Tahun 2020," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pembangunan Negara (APN) 2025 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Shamsul Azri berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) turut diminta menyemak semula kaedah pelaksanaan projek fizikal supaya dapat dijalankan dengan lebih pantas dan berkesan bagi memastikan manfaat pembangunan sampai kepada rakyat mengikut jadual yang ditetapkan.
Beliau menegaskan negara bersedia melangkah ke Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bertema "Melakar Semula Pembangunan" bagi tempoh 2026 hingga 2030.
"Saya menyeru seluruh penjawat awam membuat persediaan rapi mulai sekarang. Kita perlu lebih tangkas dan inovatif dalam melaksanakan lebih 120 strategi dan lebih 600 inisiatif yang telah digariskan," katanya.
Beliau berkata Belanjawan 2026 yang diumumkan Perdana Menteri pada 10 Okt lepas jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara, sambil meletakkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang inklusif dan mampan.
Beliau berkata tahun ini merupakan tahun terakhir RMK12 dan pelbagai pencapaian inisiatif berteraskan rakyat telah dicapai termasuk SejaTi MADANI, Santuni MADANI, Sekolah Angkat MADANI, Kampung Angkat MADANI dan Sejahtera MADANI.
"Program SejaTi MADANI yang dilaksana bertujuan membina keupayaan ekonomi komuniti telah dimanfaatkan oleh 9,655 kumpulan komuniti di seluruh negara. Sebanyak RM590 juta telah diperuntukkan bagi 2024 dan RM600 juta untuk tahun ini," katanya.
Selain itu, Sejahtera MADANI pula merupakan inisiatif meningkatkan taraf sosioekonomi isi rumah yang tersenarai dalam Sistem eKasih. Sehingga 30 Okt lalu, Tabung Kesejahteraan Rakyat telah mengumpul RM64.10 juta daripada 29 rakan strategik bagi pelaksanaan program ini.
Bagi Kampung Angkat MADANI, sebanyak 219 kampung terlibat dengan 603 skop program termasuk naik taraf dan baik pulih infrastruktur, pembinaan baharu, bekalan sosial dan pendidikan, bekalan elektrik dan solar, peningkatan capaian telekomunikasi, serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan peruntukan RM177.34 juta.
Bagi Sekolah Angkat MADANI, sebanyak 915 buah sekolah terpilih dengan peruntukan keseluruhan RM34.63 juta, termasuk 720 sekolah di bawah padanan korporat dengan peruntukan RM17.23 juta.
Seiring kemajuan teknologi global, Shamsul Azri berkata perkhidmatan awam perlu memperkemas mekanisme kawalan, pematuhan, serta kaedah penyampaian secara berkala.
"Oleh itu, perubahan proses kerja kerajaan yang lebih anjal, kolaboratif, dan adaptif amat diperlukan," katanya.
Beliau berkata kerajaan juga sedang giat meneroka penggunaan teknologi masa hadapan seperti blockchain untuk meningkatkan ketelusan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam. Beberapa agensi kerajaan telah menggunakan teknologi ini, termasuk Jabatan Laut Malaysia melalui Kad Pelaut Digital dan Kementerian Kesihatan dengan Vaccine Management System.
Shamsul Azri menegaskan perkhidmatan awam perlu bersedia menggunakan Kriptografi Pasca-Kuantum (PQC) bagi melindungi semua komunikasi digital daripada ancaman siber masa hadapan.
"Pelaksanaan kedua-dua teknologi ini mempunyai cabaran berbeza kerana data kerajaan adalah sangat sensitif, termasuk data kesihatan dan data peribadi warganegara. Reka bentuk mesti teliti untuk memastikan data sulit tidak terdedah," katanya.
-- BERNAMA
