LANGKAWI, 12 Nov (Bernama) -- Insiden bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand, di sini melibatkan pendatang tanpa izin baru-baru ini tidak boleh dianggap terpencil kerana ia mencerminkan cabaran kemanusiaan dan sosial yang terus memaksa rakyat meninggalkan negara mereka, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata ketidakstabilan dan kesukaran yang berterusan di negara jiran telah mewujudkan keadaan yang memaksa migran mengambil risiko besar merentasi laut.
“Ia tidak boleh dianggap terpencil kerana ia melibatkan satu ekosistem yang menjadi penyebab atau punca kepada tindakan pendatang tanpa izin meninggalkan negara asal mereka apabila mereka berdepan dengan ketidaktentuan atau cabaran kemanusiaan di tanah air mereka,” katanya pada sidang media berkaitan perkembangan semasa operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam berkenaan di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata berdasarkan maklumat awal, semua penumpang bot itu adalah dari Myanmar, termasuk individu daripada komuniti yang dipindahkan serta kem pelarian.
Beliau berkata mangsa yang terselamat memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa mereka telah membayar ejen yang dipercayai merupakan sebahagian daripada rangkaian sindiket penyeludupan untuk sampai ke Malaysia, yang merupakan destinasi yang mereka tuju.
“Mereka sanggup untuk berada dalam pelayaran yang sangat berbahaya terutama dalam keadaan monsun ketika ini,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata Langkawi pula menjadi lokasi pilihan untuk pendaratan kerana kedudukannya yang strategik, terletak berhampiran sempadan dengan Thailand serta dekat dengan daratan.
Polis, katanya sedang menyiasat sama ada insiden berkenaan melibatkan sindiket, jenayah terancang dan aktiviti pemerdagangan orang dan akan mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.
Beliau berkata keutamaan pihak berkuasa ketika ini adalah operasi mencari dan menyelamat mangsa, yang akan diteruskan untuk satu tempoh yang munasabah sehingga diumumkan penamatannya.
Mengenai keselamatan dan pemantauan perairan negara, Saifuddin Nasution berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus diberi tumpuan terutama dari segi penambahan aset untuk mengukuhkan peranannya termasuk helikopter, bot, dron dan sistem radar.
“Semua usaha itu berjaya mengawal kemasukan pendatang tanpa izin yang tinggi melalui perairan ke negara ini. Berdasarkan data APMM, sepanjang pengawasan mereka di perairan Langkawi, data 2010 hingga 2025 menujukkan sudah hampir 2,300 orang ditangkap, ini angka yang agak besar,” katanya.
-- BERNAMA
