AM

MAHKAMAH PERSEKUTUAN PUTUSKAN TIADA BIDANG KUASA SEMAK KEPUTUSAN LEMBAGA PENGAMPUNAN

12/11/2025 08:53 PM

PUTRAJAYA, 12 Nov (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan individu yang telah menerima pengampunan menukar hukuman mati kepada penjara seumur hidup tidak berhak untuk memohon semakan di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) bagi tujuan mengubah tarikh mula pelaksanaan hukuman mereka.

Panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan bahawa Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengubah perintah Lembaga Pengampunan.

Lembaga Pengampunan menetapkan bahawa responden, G. Jiva, 55, warga Thai, Phrueksa Taemchim, 41, dan rakyat Zambia, Mailesi Phiri, 48, mesti menjalani hukuman penjara 30 tahun mereka bermula dari tarikh keputusan Lembaga Pengampunan.

Mahkamah memutuskan bahawa bidang kuasanya di bawah Akta 847 adalah terhad kepada mendengar permohonan semakan daripada banduan yang hukuman mati mereka sama ada ditolak oleh Lembaga Pengampunan atau digantikan kepada penjara seumur hidup tanpa tempoh tahanan tertentu.

Panel hakim yang turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais, Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali seterusnya membenarkan permohonan semakan pihak pendakwa.

Che Mohd Ruzima ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah berkata mahkamah di negara ini sejak dahulu membuat pendirian bahawa kuasa prerogatif Lembaga Pengampunan tidak boleh diadili dan disemak secara kehakiman.

Beliau berkata mahkamah ini berpandangan tindakan responden-responden mengemukakan permohonan di bawah Akta 847 adalah serupa dengan tindakan mencabar keputusan Lembaga Pengampunan.

“Keputusan Lembaga Pengampunan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabar dan diadili secara kehakiman, namun responden-responden tidak dibiarkan tanpa remedi,” katanya.

Beliau berkata responden-responden masih boleh mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan untuk dipertimbangkan semula tarikh bermula hukuman mereka.

Che Mohd Ruzima berkata pada masa responden-responden mengemukakan permohonan kajian semula di bawah Akta 847, mereka tidak lagi dianggap sebagai banduan akhir yang menerima hukuman mati, kesan daripada pemberian pengampunan yang berlandaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang Dipertua Negeri.

Beliau menyatakan bahawa kejayaan permohonan pengampunan responden bermakna mereka tidak lagi diklasifikasikan sebagai banduan yang dikenakan hukuman mati pada masa semakan mereka di bawah Akta 847.

Dalam penghakiman sokongan beliau, Wan Ahmad Farid berkata ia bukanlah pengakhiran bagi ketiga-tiga responden.

“Mereka bebas untuk mengemukakan petisyen baharu di bawah Peraturan-Peraturan Penjara 2000 bagi memohon keizinan daripada Lembaga Pengampunan masing-masing untuk mempertimbangkan semula tarikh mula pelaksanaan hukuman mereka selaras dengan keputusan Lembaga Pengampunan Pulau Pinang dalam kes Ang Kok San," katanya.

Wan Ahmad Farid berkata kuasa untuk menimbang semula perintah terletak sepenuhnya pada Lembaga Pengampunan dan merupakan kuasa prerogatif yang tidak boleh dicabar di mahkamah.

Beliau turut memerhatikan bahawa responden tidak akan terjejas oleh penemuan ini kerana saluran perundangan alternatif masih tersedia bagi mereka.

Jiva, Phrueksa dan Mailesi pada asalnya telah dijatuhi hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah, kemudiannya menerima pengampunan daripada Lembaga Pengampunan yang menukar hukuman mati mereka kepada penjara selama 30 tahun bermula dari tarikh keputusan lembaga berkenaan.

Mereka kemudiannya memohon kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Akta 847 untuk menyemak semula hukuman berkenaan supaya tempoh penjara mereka dikira bermula dari tarikh tangkap masing-masing.

Dalam keputusan majoriti 2-1 pada 27 Ogos 2024, panel tiga anggota Mahkamah Persekutuan pada asalnya telah membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh ketiga-tiga responden.

Susulan keputusan itu, pihak pendakwaan telah memulakan prosiding dengan mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran menyemak semula keputusan tersebut selaras dengan Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan itu pada 10 Sept tahun ini, membolehkan semakan pihak pendakwaan diteruskan.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin. Phrueksa diwakili peguam K Simon Murali; Mailesi oleh Abdul Rashid Ismail; manakala Jiva oleh Datuk N. Sivananthan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan