KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya Destination Resorts and Hotels Sdn Bhd (DRH) telah melabur lebih RM4 bilion dalam pembangunan Desaru Coast dan Legoland Malaysia Resort, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Menerusi jawapan bertulis di portal Dewan Rakyat, kementerian memaklumkan pelaburan ini merangkumi pembangunan infrastruktur serta aset-aset pelancongan strategik termasuk hotel bertaraf antarabangsa.
MOF berkata Khazanah juga telah menjalinkan beberapa kerjasama strategik di Desaru Coast dengan pelabur terkemuka termasuk Permodalan Darul Ta'zim, sebuah syarikat milik penuh kerajaan negeri Johor yang bertanggungjawab dalam pengurusan aset-aset berkepentingan di negeri berkenaan.
"Dalam tempoh lima tahun akan datang, pembangunan Desaru Coast akan terus diperkukuh melalui penambahan bilik hotel, resort, kediaman berjenama serta pelbagai kemudahan pelancongan lain.
"Desaru Coast juga dijangka meraih manfaat daripada pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bakal meningkatkan lagi daya saing serta pembangunan destinasi ini di peringkat serantau," kata kementerian.
MOF menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai jumlah pelaburan Khazanah di Desaru Coast dan prestasi kewangan yang dijana setiap tahun.
Sementara itu, MOF memaklumkan tidak bercadang untuk menubuhkan Kumpulan Wang Deposit Negara bagi menjamin wang deposit persendirian dan syarikat tidak disalahgunakan untuk tujuan lain.
Katanya bayaran deposit oleh individu atau syarikat adalah tertakluk kepada tujuan khusus yang perlu dikreditkan kepada Akaun Deposit di bawah seliaan kementerian atau jabatan masing-masing.
"MOF adalah bertanggungjawab bagi penubuhan Akaun Amanah (AA) dan Kumpulan Wang Amanah (KWA) di bawah Seksyen 9 dan Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61]," katanya menjawab soalan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) sama ada kerajaan bercadang untuk menubuhkan Kumpulan Wang Deposit Negara bagi menjamin wang deposit persendirian dan syarikat tidak disalahgunakan untuk tujuan lain.
-- BERNAMA
