EKONOMI

HONG LEONG BANK YAKIN RINGGIT MILIKI KEKUATAN ASAS KUKUH UNTUK TERUSKAN KENAIKAN

12/11/2025 09:53 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Hong Leong Bank Bhd (HLB) yakin ringgit mempunyai kekuatan asas yang mencukupi untuk meneruskan aliran meningkatnya selepas mata wang tempatan itu dibuka pada 4.12 berbanding dolar AS pada Rabu, paras paling kukuhnya sejak 30 September 2024.

Pengarah Urusan Pasaran Global HLB, Hor Kwok Wai, berkata paras 4.12 itu merupakan cerminan langsung kekuatan ekonomi Malaysia yang meningkat dengan ketara.

"Tinjauan positif kami diperkukuh oleh pemangkin yang menggalakkan daripada situasi perdagangan AS-Malaysia yang bertambah baik, kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN hingga kepada komitmen berterusan terhadap disiplin fiskal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata keyakinan luaran semakin meningkat, didorong terutamanya oleh perjanjian perdagangan timbal balas yang ditandatangani baru-baru ini dengan Amerika Syarikat, yang telah berjaya mengendurkan kerumitan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.

"Sentimen positif ini, ditambah dengan kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN yang dianjurkan di Malaysia, menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan aliran masuk portfolio yang kukuh, terutamanya ke dalam pasaran bon dan ekuiti Malaysia.

"Kestabilan ini dijangka menyumbang kepada kadar pengumpulan rizab asing yang lebih perlahan oleh bank pusat," katanya.

Hor berkata prestasi ini disokong lagi oleh unjuran dolar AS yang lebih rendah susulan data buruh lemah yang meningkatkan jangkaan Rizab Persekutuan akan terus melonggarkan dasarnya yang seterusnya membawa kepada pengurangan perbezaan hasil antara AS dan Malaysia.

"Di dalam negara, keyakinan terus mendapat rangsangan daripada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, yang membayangkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara 2025 boleh melebihi unjuran rasmi iaitu pada 4.0-4.8 peratus, sekali gus mengukuhkan trajektori ekonomi yang kukuh," katanya.

Menurutnya, momentum peningkatan itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia terhadap kemampanan fiskal, dipacu oleh Belanjawan 2026 yang dibentangkan pada Oktober lepas.

Belanjawan itu memperkukuh pengurusan ekonomi yang berdisiplin dengan menyasarkan defisit fiskal sebanyak 3.5 peratus daripada KDNK bagi 2026.

“Kami mengekalkan tinjauan positif terhadap ringgit, didorong oleh pemangkin yang dinyatakan sebelum ini, yang disokong oleh asas Malaysia yang kukuh dan prospek pertumbuhan yang berdaya tahan.

"Memandangkan pertumbuhan KDNK sebenar 2025 dijangka mencapai unjuran rasmi yang lebih tinggi, ringgit diunjurkan meningkat dengan stabil, disasarkan peada 4.05 menjelang pertengahan 2026," katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan