BANGKOK, 12 Nov (Bernama) -- Thailand telah menyerah balik ahli perniagaan China-Kemboja, She Zhijiang kepada China, yang mana beliau berdepan pertuduhan mengendalikan lebih 200 laman sesawang kasino dalam talian haram bernilai kira-kira 12.6 trilion baht (100 baht = RM12.74).
She, yang ditahan di Thailand sejak 2022 selepas diberkas Polis Thailand atas permintaan pihak berkuasa China melalui Interpol, diserahkan kepada pihak berkuasa China pada Rabu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan terdahulu yang meluluskan ekstradisi ke atas lelaki itu.
Pihak berkuasa China mendakwa She mengendalikan rangkaian perjudian dalam talian rentas sempadan berskala besar serta terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram. Beliau tiba di lapangan terbang Bangkok pada Rabu dengan kawalan ketat oleh pegawai keselamatan Thailand.
Dalam satu kenyataan, Polis Diraja Thailand berkata operasi ekstradisi itu diarahkan oleh Ketua Polis Negara, Jeneral Polis Kittirat Panpetch, dan Timbalan Ketua Polis Negara, Jeneral Polis Thana Chuawong.
“Pemindahan itu dilaksanakan di bawah Perjanjian Ekstradisi 1993 antara Kerajaan Thailand dan Republik Rakyat China,” kata Polis Thailand pada Rabu.
Polis Thailand memaklumkan bahawa unit komando khas dari Biro Siasatan Pusat (CIB) mengiringi She dari Penjara Tahanan Bangkok ke kemudahan tahanan di Balai Polis Suvarnabhumi, di mana beliau diserahkan kepada pegawai penguat kuasa undang-undang China.
Ekstradisi itu dilakukan selepas keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin yang mengesahkan keputusan mahkamah terdahulu supaya She dipindahkan ke China dalam tempoh 90 hari selepas penghakiman itu dimuktamadkan.
Menurut pihak berkuasa China, She dipercayai terlibat dalam penubuhan dan pengurusan lebih 239 laman sesawang kasino dalam talian yang menjana aliran tunai melebihi 2.77 trilion yuan (kira-kira 12.6 trilion baht).
Beliau juga dilaporkan terbabit dalam pembangunan projek Asia Pacific New City di Zon Ekonomi Khas Shwe Kokko di Myanmar, yang merangkumi dua kompleks kasino yang dipercayai menyasarkan penjudi dari China.
-- BERNAMA
