JENAYAH & MAHKAMAH

ENKLAF DUTA: MAHKAMAH PERSEKUTUAN TOLAK PERMOHONAN SEMANTAN ESTATE UNTUK RAYU HAK MILIK TANAH

13/11/2025 03:52 PM

PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Semantan Estate (1952) Sdn Bhd untuk mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Pendaftar Tanah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan tanah seluas 263.272 ekar di Enklaf Duta atas nama syarikat berkenaan.

Sehubungan dengan itu, keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kerajaan kekal berkuat kuasa kerana syarikat terbabit tidak boleh meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas gagal memperoleh kebenaran. 

Menurut undang-undang, litigan dalam kes sivil perlu mendapat kebenaran sebelum mereka meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 24 Jun lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Semantan Estate tidak berhak terhadap hak milik tanah itu, namun syarikat itu layak mendapat pampasan sewajarnya yang akan ditaksir berdasarkan nilai tanah pada 1956, iaitu ketika tanah terbabit diambil alih oleh kerajaan.

Hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed, bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hanipah Farikullah dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, memutuskan bahawa syarikat berkenaan gagal memenuhi prasyarat yang ditetapkan di bawah Seksyen 96 (a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Mahkamah menolak permohonan kebenaran merayu itu tanpa kos.

Hakim Hasnah menetapkan 17 Nov untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Roslan Mat Nor bagi menetapkan tarikh pendengaran awal untuk pentaksiran pampasan.

Tanah yang dipertikaikan itu, yang terletak di kawasan utama Jalan Duta dikenali sebagai Enklaf Duta, menempatkan bangunan kerajaan termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Semasa menyampaikan penghakiman, Hasnah, yang akan bersara esok, berkata permohonan difailkan oleh Semantan Estate berasaskan fakta dan tidak menimbulkan sebarang persoalan perlembagaan yang penting untuk diselesaikan atau dihujahkan lagi di Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Hanipah berkata hujah Semantan Estate bahawa tanah itu sepatutnya dipindahkan dan didaftarkan atas nama syarikat berkenaan, tidak konsisten dengan kedudukan undang-undang yang ditetapkan melalui perintah Mahkamah Tinggi pada 2009 memandangkan perintah itu tidak mengarahkan pemindahan atau pendaftaran tanah terbabit atas nama syarikat berkenaan.

"Perintah itu hanya mengiktiraf hak saksama dan bukan kepentingan yang boleh didaftarkan di bawah Kanun Tanah Negara," katanya dan menambah bahawa persoalan yang dikemukakan dalam permohonan kebenaran merayu tentang sama ada pemohon mempunyai kepentingan yang boleh didaftarkan atau kepentingan benefisial, tidak menimbulkan sebarang prinsip undang-undang baharu atau yang belum diselesaikan.

Hanipah berkata kes pemohon bergantung pada perintah Mahkamah Tinggi pada 2009 yang bersifat deklaratif semata-mata, iaitu hanya mengiktiraf kepentingan benefisial dan hak pemohon terhadap kerajaan tanpa mengeluarkan perintah operasi untuk pemindahan atau pendaftaran tanah terbabit, dan isu itu dikemukakan bertujuan membuka semula dapatan yang telah pun diselesaikan dalam undang-undang.

Selepas mahkamah menyampaikan keputusan itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili beberapa responden termasuk kerajaan, peguam Semantan Estate Datuk Dr Cyrus V. Das dan peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang hadir bagi pihak Badan Peguam Malaysia sebagai sahabat mahkamah atau amicus curiae, turut mengucapkan selamat bersara kepada Hasnah, dan Hanipah yang dijadualkan bersara pada hujung bulan ini.

Selain kerajaan, Shamsul turut mewakili Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal tanah di Wilayah Persekutuan, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Pengarah Tanah dan Galian (Wilayah Persekutuan) serta Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan.

Kes pertikaian membabitkan Semantan Estate bermula pada 2003 apabila syarikat berkenaan menyaman kerajaan dan mendakwa tanah itu diambil secara tidak sah. Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya membuat keputusan yang memihak kepada Semantan Estate dan memutuskan bahawa kerajaan telah mengambil alih tanah itu secara tidak sah dan syarikat terbabit mempunyai kepentingan benefisial terhadapnya.

Kerajaan telah mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, namun gagal. Pada Feb 2017, Semantan Estate memfailkan saman terhadap Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan supaya menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009 itu.

Pada Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengarahkan Pendaftar Tanah Persekutuan untuk memindahkan hak milik tanah terbabit dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penghakiman, namun keputusan itu diketepikan oleh Mahkamah Rayuan.

Pada 24 Jun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk Lee Swee Seng (kini hakim Mahkamah Persekutuan) turut memerintahkan agar jumlah pampasan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi ditolak sebanyak RM1.325 juta, yang telah dibayar oleh kerajaan pada 1956.

Mahkamah Rayuan juga memutuskan bahawa Semantan Estate berhak mendapat keuntungan sementara terhadap tanah itu, jumlah yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi, selain mengarahkan kedua-dua pihak untuk melantik pakar masing-masing bagi membuat penilaian terhadap tanah terbabit dalam tempoh 90 hari dari tarikh penghakiman.

Pada 28 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Semantan Estate untuk menangguhkan perintah Mahkamah Rayuan sementara menunggu keputusan permohonan bagi mendapatkan kebenaran merayu yang dikemukakan syarikat itu.

Seorang lagi peguam Semantan Estate Alexie Ng ketika dihubungi berkata pihaknya akan mendapatkan arahan daripada anak guam sama ada memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini.

-- BERNAMA


 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan