KOTA KINABALU, 12 Nov (Bernama) -- Landskap politik Sabah mencipta sejarah apabila kali pertama menyaksikan pasangan suami isteri dicalonkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat dan isterinya Puan Sri Diana Diego @ Yusrina Sufiona masing-masing akan bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pada pengumuman calon oleh Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor di sini hari ini, Pandikar Amin dinamakan sebagai calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan manakala isteri beliau di DUN Sekong.
DUN Pintasan terletak dalam Parlimen Kota Belud manakala Sekong dalam Parlimen Batu Sapi.
Pandikar Amin ketika ditemui pemberita berkata beliau yakin mampu memenangi kerusi itu kerana kini bertanding mewakili parti yang memerintah Sabah.
“Saya tidak pernah meninggalkan pentas politik, sentiasa aktif dan terlibat. Saya yakin boleh menang. Pada PRN sebelum ini, saya bertanding sebagai calon bebas dan memperoleh 2,660 undi, hanya kalah 84 undi. Kini, saya yakin dapat menyumbang kemenangan untuk GRS,” katanya.
Pandikar Amin berkata kesemua calon yang diketengahkan oleh GRS pada PRN kali ini mempunyai potensi besar untuk menang, memandangkan mereka telah lama berkhidmat dan membina hubungan erat dengan penduduk di kawasan masing-masing.
Sementara itu, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman yang dinamakan sebagai calon GRS di DUN Bongawan berterima kasih kepada semua pihak termasuk penyokong yang akan berusaha memastikan kemenangannya pada pilihan raya ini.
“Kita akan terus berjuang untuk Sabah,” kata bekas Menteri Luar itu.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) hari ini mengumumkan GRS akan bertanding di 55 daripada 73 kerusi DUN pada PRN Sabah ke-17.
GRS yang ditubuhkan hampir empat tahun lepas terdiri daripada Gagasan Rakyat, PCS, USNO, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan Parti Liberal Diplomatik (LDP).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRN Sabah pada Sabtu ini, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 Nov.
-- BERNAMA
