AM

PERAK SELENGGARA JALAN, LONGKANG DI KAWASAN BERISIKO BANJIR HADAPI MTL - EXCO

13/11/2025 04:38 PM

IPOH, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan Perak akan memastikan jalan-jalan negeri termasuk longkang di kawasan berisiko banjir diselenggara dengan baik supaya sistem saliran berjalan lancar bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula bulan ini dan berterusan hingga Mac depan. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata usaha berkenaan melibatkan pelbagai agensi kerajaan dengan melaksanakan program gotong-royong bagi membersihkan kawasan terlibat.

"Kita akan mempastikan jalan-jalan negeri diambil kira bersama pihak berkuasa tempatan seperti MBI (Majlis Bandaraya Ipoh). 

"Longkang dan parit juga perlu dibersihkan supaya aliran air tidak tersekat dan dapat mengurangkan risiko banjir," katanya pada sidang media selepas program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi kesiapsiagaan MTL anjuran Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak di FT001 Jalan Ipoh-Tanjung Malim di sini hari ini.

Mohammad Nizar berkata beberapa kawasan di Muallim, Kerian, Kinta dan Manjung merupakan daerah di Perak yang sering dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat berterusan khususnya apabila paras air laut meningkat.

"Keadaan itu menyebabkan air termenung di jalan raya yang menjadi tumpuan sekali gus memaksa penutupan sementara laluan berkenaan bagi keselamatan pengguna.

"Namun, kebiasaannya penutupan jalan hanya dilaksanakan beberapa jam atau paling lama dua hari apabila air sudah surut," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan