AM

BELANJAWAN 2026 : PERALATAN MIKROZONASI SEISMIK DI SEGAMAT BANTU KAJI DAYA TAHAN GEMPA BUMI

13/11/2025 04:52 PM

 

ISKANDAR PUTERI, 13 Nov (Bernama) --  Perolehan peralatan untuk pengkelasan peta mikrozonasi seismik di Segamat yang membabitkan peruntukan berjumlah RM736,000 dijangka bermula awal tahun hadapan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata peralatan itu penting bagi membolehkan kajian serta data termasuk impak gegaran dialami di sesuatu kawasan diperolehi secara  lebih tepat dan menyeluruh.

“Peralatan peta mikrozonasi seismik bergerak ini mampu mengkaji daya tahan gegaran terhadap sebahagian tanah dan bangunan susulan kejadian gempa bumi di Segamat

“Usaha ini penting untuk memastikan kemungkinan gegaran pada masa hadapan dapat dikenal pasti melalui kajian serta data yang lebih mendalam,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Johor 2026 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Ling berkata inisiatif itu antara langkah permulaan dilakukan kerajaan negeri dalam memperkukuh tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana itu, yang telah beberapa kali berlaku khususnya di Segamat.

Terdahulu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan 2026 mengumumkan peruntukan untuk peralatan berkenaan di bawah teras kelima yang membabitkan usaha mengurangkan risiko bencana. 

Sejak 24 Ogos, sebanyak tujuh gempa bumi lemah direkodkan di Johor dengan gegaran pertama di Segamat pada magnitud 4.1, disusuli gegaran bermagnitud 2.8 skala Richter pada pagi hari sama, selain 27 Ogos (3.2), 28 Ogos (2.5), 29 Ogos (3.4), 30 Ogos (2.7) dan 3 Nov (2.7).

Sebanyak 15 bangunan kerajaan dikenal pasti mengalami kerosakan kecil susulan bencana itu dari 24 hingga 30 Ogos, dengan anggaran kos baik pulih berjumlah RM550,000.

Laporan itu hasil pemeriksaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat setakat 3 Sept, ke atas bangunan melibatkan Hospital Segamat, Klinik Kesihatan Bandar Putra, Kolej Komuniti Segamat, Pejabat Kadi Daerah, sekolah dan kuarters kerajaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan