KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Usahawan tempatan di seluruh negara berjaya mencatatkan jumlah pesanan sehingga 14 kali lebih banyak semasa kempen 11.11 Jualan Hebat Shopee, menurut platform e-dagang itu.
Shopee menerusi kenyataan memaklumkan pencapaian itu diraih apabila penjual memanfaatkan perdagangan berasaskan kandungan melalui siaran langsung, video pendek dan kerjasama bersama-sama affiliate untuk meningkatkan keterlihatan serta berhubung dengan pembeli dengan cara lebih bermakna.
Pencapaian itu juga membuktikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta jenama tempatan semakin menjadikan Shopee sebagai pilihan utama untuk menyesuaikan diri dengan landskap runcit digital yang menekankan kreativiti dan penceritaan autentik sebagai kelebihan daya saing utama.
Menurut kenyataan itu, penjual yang menggunakan Shopee Live dan Shopee Video merekodkan sehingga 26 kali lebih banyak pesanan berbanding hari biasa, menunjukkan kekuatan kandungan interaktif dalam menarik minat penonton dan menukarkan mereka kepada pembeli.
Antara yang mencatat kejayaan besar ialah pempengaruh media sosial dan usahawan Khairul Aming yang mencatatkan rekod jualan sebanyak RM1 juta semasa siaran langsung 11.11.
“Pencapaian ini berjaya dicapai melalui sokongan luar biasa daripada mereka yang menonton siaran langsung tersebut serta usaha berterusan Shopee dalam memperkasakan penjual tempatan seperti saya,” kata Khairul Aming menerusi kenyataan itu.
Sementara itu, duta jenama Shopee 11.11 Big Sale Datuk Seri Aliff Syukri yang juga pengasas bersama Papa Terlajak Laris turut mencatat peningkatan pesanan enam kali ganda berbanding kempen sebelumnya.
“Pencapaian yang menginspirasikan. Shopee Video membantu kami mencapai lebih ramai penonton dan menukar pendedahan itu kepada hasil sebenar,” katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan Program Affiliate Shopee turut menjadi pemangkin kejayaan, apabila penjual yang bekerjasama dengan pencipta kandungan mencatatkan tujuh kali lebih banyak pesanan melalui Shopee Video dan enam kali lebih banyak melalui Shopee Live.
Selain itu, inisiatif Lagi Murah Shopee turut menyokong daya saing penjual tempatan dengan menawarkan lebih banyak nilai dan kemampuan kepada pembeli, yang secara keseluruhannya berjaya menjimatkan RM685 juta menerusi baucar dan promosi di seluruh platform, termasuk RM170 juta daripada tawaran melalui Shopee Live dan Shopee Video.
Kempen 11.11 tahun ini juga mencatat lebih 1.3 bilion tontonan di Shopee Live dan Shopee Video, memberikan pendedahan luar biasa kepada penjual dan jenama tempatan, apabila ramai penjual melaporkan peningkatan ketara dalam bilangan pengikut dan pembeli ulangan selepas menggunakan alat kandungan Shopee.
Jenama fesyen lelaki Zeke Store antara yang mendapat manfaat besar, dengan peningkatan pesanan sebanyak 130 peratus sepanjang kempen.
Shopee berkata kategori Home & Living (rumah dan kediaman) merupakan kategori paling laris diikuti oleh Health & Beauty (kesihatan dan kecantikan) serta Automotive (automotif), yang mencerminkan kepelbagaian dan kekuatan pasaran digital Malaysia.
Ketua Pemasaran Shopee Malaysia Tan Ming Kit berkata platform itu mahu melihat penjual Malaysia membuka pertumbuhan baharu dengan menggabungkan kreativiti dan teknologi.
“Alat seperti Shopee Live dan Shopee Video memberi peluang kepada setiap usahawan, tidak kira saiz perniagaan untuk ditemui, dipercayai dan disokong oleh pelanggan yang menghargai keaslian dan kemampuan. Matlamat kami adalah terus memudahkan hubungan dan pertumbuhan ini di seluruh ekosistem Shopee,” katanya.
-- BERNAMA
