POLITIK

PRN SABAH: 100 PETUGAS UMNO PAHANG AKAN BANTU KEMPEN BN - WAN ROSDY

13/11/2025 07:52 PM

KUANTAN, 13 Nov (Bernama) -- Badan Perhubungan UMNO Pahang akan menghantar 100 petugas bagi membantu jentera kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kata Pengerusinya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata jumlah itu akan ditambah sekiranya terdapat keperluan bagi memperkukuh gerak kerja kempen di kawasan terlibat.

“Ini adalah tradisi kita dalam BN dan UMNO. Apabila ada PRN atau pilihan raya kecil, negeri-negeri lain akan turut turun padang membantu memastikan kemenangan calon-calon BN,” katanya kepada pemberita pada Town Hall Pahang 1st Lecture Series di Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata bantuan jentera UMNO Pahang itu akan ditumpukan di daerah Beluran yang merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Telupid, Sugut dan Labuk, manakala di daerah Kinabatangan pula membabitkan DUN Kuamut, Lamag dan Sukau.

Beliau berkata UMNO Pahang turut menghantar kira-kira 20 pelajar daripada Sekolah Patriotik UMNO untuk menyertai misi berkenaan sebagai pendedahan kepada proses demokrasi negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan tarikh pengundian awal 25 Nov.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan