AM

ISU KERAKYATAN: LAHIR ANAK LUAR NEGARA, IBU KAHWINI WARGA ASING KINI BOLEH TARIK NAFAS LEGA

14/11/2025 10:42 AM

Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- Ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing boleh menarik nafas lega kerana pelaksanaan kerakyatan Malaysia secara automatik bagi anak mereka yang lahir di luar negara, kini giat diuruskan supaya dapat direalisasikan seawal pertengahan tahun depan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara ini termasuk penyediaan borang pendaftaran baharu, kemas kini sistem pendaftaran serta pemakluman kepada semua pejabat perwakilan Malaysia di seluruh dunia.

Beliau berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) kini dalam fasa akhir menyemak segala pindaan akta, peraturan serta proses berkaitan selepas pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan berkenaan diluluskan Parlimen tahun lepas. 

“Semakan turut melibatkan pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Warganegara 1964 dan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama, yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di pejabat beliau di sini baru-baru ini.

Saifuddin Nasution berkata selepas proses semakan berkenaan selesai, pindaan itu akan membolehkan anak kepada ibu warga Malaysia dan bapa warga asing yang lahir di luar negara mendapat kewarganegaraan secara automatik.

“Apabila pindaan ini berkuat kuasa, ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing dan menetap di luar negara yang melahirkan anak boleh terus mendaftarkan kelahiran anak mereka di pejabat kedutaan dan sijil lahir yang dikeluarkan akan menyatakan status sebagai warganegara,” katanya.

Pada 17 Okt tahun lepas, Dewan Rakyat melakar sejarah apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga.

Pindaan itu, antara lain memperuntukkan hak sama untuk kanak-kanak dilahirkan di luar Persekutuan oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin lelaki warga asing di luar negara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara sebelum ini.

RUU berkenaan digubal bagi mengukuhkan prinsip keadilan, kesamarataan dan ketelusan dalam pemberian kewarganegaraan, sejajar dengan realiti semasa dan aspirasi negara.

Saifuddin Nasution berkata pindaan itu langkah penting bagi memastikan keadilan kepada wanita Malaysia yang berkahwin warga asing dan melahirkan anak di luar negara, selaras prinsip kesaksamaan yang termaktub dalam Perlembagaan.

Beliau berkata usaha itu juga sebahagian komitmen kerajaan untuk menoktahkan tunggakan permohonan kewarganegaraan, yang sebelum ini mencecah lebih 50,000 kes.

“Daripada lebih 50,000 kes tertunggak, kini hanya tinggal sekitar 6,000 kes lama yang masih dalam proses semakan. 

“Walaupun jumlahnya kecil, kesannya besar kepada kehidupan rakyat. Ia antara pencapaian yang memberi kepuasan maksimum kepada saya kerana kita tahu kita sedang melakukan perkara yang betul,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan