KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Aliran masuk bersih pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia melonjak kepada RM8.5 bilion pada suku ketiga 2025 daripada RM1.6 bilion pada suku kedua 2025, disokong oleh suntikan ekuiti yang lebih besar, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kebanyakan aliran masuk FDI disalurkan ke sektor perkhidmatan, khususnya dalam subsektor maklumat dan komunikasi dan aktiviti kewangan, terutamanya yang berkaitan dengan aktiviti pusat data
“Pelabur utama FDI adalah dari Singapura, China dan Jepun.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata pelaburan langsung di luar negeri (DIA) merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM1.7 bilion daripada aliran masuk bersih RM0.6 bilion pada suku tahun sebelumnya.
“Aliran masuk ini terutamanya disebabkan oleh pencairan ekuiti dan pendapatan dilabur semula, terutamanya dalam sektor perkhidmatan, dengan sebahagian besarnya tertumpu kepada subsektor Perdagangan borong dan runcit.
“Singapura, Thailand dan Angola merupakan penyumbang utama kepada aliran masuk DIA pada suku ini,” katanya.
Mohd Uzir berkata kedudukan pelaburan antarabangsa (IIP) Malaysia mencatatkan aset bersih yang lebih tinggi berjumlah RM77.3 bilion pada akhir suku ketiga 2025.
“Jumlah kedudukan aset kewangan bernilai RM2.59 trilion, mengatasi jumlah liabiliti sebanyak RM2.51 trilion.
“Jumlah keseluruhan pelaburan bagi FDI dan DIA masing-masing sebanyak RM1,021.5 bilion dan RM615.8 bilion,” katanya.
Menurutnya, Asia kekal sebagai rantau utama bagi kedua-dua pelaburan, dengan FDI kebanyakannya dari Singapura dan Hong Kong, manakala DIA banyak dilaburkan di Singapura dan Indonesia.
“Selain itu, Rizab Antarabangsa Malaysia berjumlah RM520.8 bilion pada akhir September 2025,” katanya.
-- BERNAMA
