EKONOMI

USAHA RINTIS INISIATIF RESET BNM BERMULA 2026, TANGANI INFLASI PERUBATAN -- GABENOR

14/11/2025 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) – Cadangan produk asas insurans/takaful perubatan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kini dalam proses untuk dimuktamadkan tahun ini, termasuk melibatkan pelaksanaan usaha rintis bermula tahun depan yang menjadi antara strategi menangani inflasi perubatan serta peningkatan premium insurans.

Usaha itu yang menjadi sebahagian daripada strategi “Revamp, Enhance, Strengthen, Expand and Transform” (RESET), merupakan inisiatif yang bertujuan menangani peningkatan kos perubatan serta pembaharuan terhadap sistem penjagaan kesihatan swasta.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour Abdul Rasheed berkata bank pusat itu telah memperkenalkan langkah sementara bagi produk MHIT yang turut mengehadkan pelarasan premium tahunan kepada kurang 10 peratus bagi majoriti pemegang polisi sehingga akhir tahun depan.

“Setakat ini, kita melihat pendekatan itu berjalan dengan amat baik. Had penetapan semula harga sebanyak 10 peratus ini telah meliputi 90 peratus daripada premium insurans,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama BNM dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2025 di sini, hari ini.

Abdul Rasheed berkata RESET menumpukan usaha mempertingkat produk MHIT, meningkatkan ketelusan, memperkukuh sistem e-dagang, memperluas pilihan cekap kos dan mentransformasi mekanisme pembayaran di negara ini.

Dalam pada itu, mengikut MBSB Research, inflasi perubatan dijangka meningkat 16 peratus pada 2026, didorong oleh penghijrahan tenaga pakar perubatan dan jururawat serta kenaikan harga ubat.

Malaysia sedang mengalami isu penghijrahan tenaga pakar yang ketara apabila kalangan doktor, jururawat serta pakar berpindah ke luar negara serta pasaran yang menawarkan gaji lebih menarik.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan